KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan proses penjenamaan baharu entiti itu melibatkan perbelanjaan RM20 juta.
Sebaliknya, peruntukan bagi proses peremajaan jenama adalah RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun.
“Proses ini melibatkan tinjauan pasaran meluas dan proses libat urus Bersama pihak pendeposit bagi memahami lebih baik keperluan mereka dan TH mendapati perubahan demografi masyarakat Islam Malaysia mempunyai kesan yang amat ketara,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sehubungan itu, Tabung Haji menyifatkan spekulasi tersebut sebagai tidak benar dan satu fitnah.
Malah, katanya, dakwaan TH tidak perlu berusaha bagi memperkukuhkan jenamanya setelah beroperasi 60 tahun juga tidak tepat kerana ia telah memperkukuhkan jenama beberapa kali sebelum ini.
“Ini merupakan pelaburan penting untuk mengubah minda dan menarik minat umat Islam menabung secara sistematik untuk memenuhi syarat kemampuan menunaikan haji,” tambahnya.
Kenyataan itu menambah, TH mempunyai 9.6 juta pendeposit pada hari ini, hanya 55% daripada penduduk Muslim negara ini.
Pada masa ini juga lebih 80% daripada transaksi kewangan dilakukan secara digital dan dalam talian.
Selain itu, lebih daripada 53% pendeposit TH mempunyai simpanan kurang dari RM1,300, jauh daripada mencukupi bagi persediaan menunaikan haji.
Pada masa sama, bayaran haji bagi seorang jemaah kumpulan B40 tahun 2025 adalah RM15,000.
Tambahnya, TH sedang merancang kempen bagi menarik umat Islam negara ini untuk menabung awal, konsisten dan sistematik untuk meningkatkan simpanan ke paras yang membolehkan mereka menunaikan ibadat haji serta memastikan pelaburan stabil demi kelestarian institusi.
Tabung Haji berkata, Lembaga pengarahnya juga memutuskan untuk mengkaji semula strategi untuk kekal berdaya saing memberi perkhidmatan terbaik dan menarik minat lebih ramai umat ISlam yang lebih muda sebagai pendeposit. – MalaysiaGazette















