Dr. Santhara Kumar

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Santhara Kumar mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penggunaan sebahagian hasil kutipan Cukai Mudarat (sin tax) sebagai mekanisme khusus bagi menyalurkan peruntukan khas kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India.

Menurut beliau, usaha memperkasa komuniti tersebut sentiasa menjadi antara keutamaannya ketika berkhidmat dalam kerajaan dan beberapa cadangan bertulis telah dikemukakan kepada tiga menteri daripada tiga pentadbiran berbeza ketika era beliau bergelar wakil rakyat. 

“Saya telah membentangkan Pelan Transformasi Masyarakat India kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersetuju secara prinsip terhadap cadangan tersebut.

“Perkara sama juga telah dibentangkan kepada bekas Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri  Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan beliau turut melihat pentingnya pendekatan yang lebih struktural dan mampan,” tulisnya dalam Facebook beliau.

Antara cadangan utama yang dikemukakan adalah agar kerajaan menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM100 juta kepada komuniti India melalui hasil kutipan cukai mudarat sebagai tambahan kepada peruntukan MITRA (RM100 juta) dan Tekun (RM30 juta) dalam Belanjawan 2025.

“Pada tahun 2022 sahaja, hasil cukai mudarat mencecah RM8 bilion dan sekiranya hanya 10 peratus (RM800 juta) diagihkan kepada kaum minoriti serta RM300 juta disasarkan kepada komuniti India, sebahagian besar isu utama seperti pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan mampu diselesaikan menjelang 2030,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, peruntukan khas RM100 juta itu telah dirangka dengan pecahan jelas merangkumi pendidikan (RM18 juta), pelajar cemerlang tidak ditawarkan IPTA (RM17 juta), NGO pembangunan sosial (RM5 juta), Projek Sekolah Wawasan Tamil (RM30 juta), dewan dan tempat kebudayaan (RM27 juta) serta projek kecil komuniti (RM3 juta).

“Kertas cadangan tersebut turut mencadangkan agar peruntukan ini disalurkan melalui Pejabat Timbalan Perdana Menteri bagi memastikan program dapat diselaras secara lebih cekap merangkumi pembangunan TVET, latihan usahawan, peningkatan infrastruktur dan inisiatif pendidikan tinggi di kawasan komuniti India,” jelasnya.

Santhara yang juga mantan Ahli Parlimen Segamat menegaskan, sekiranya pelaksanaan cadangan tersebut diberikan pertimbangan serius, ia bukan sahaja dapat mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India secara keseluruhan tetapi turut memberi manfaat kepada ekonomi negara.

“Saya menghargai komitmen kerajaan Madani yang sentiasa mengutamakan prinsip keadilan sosial dan kesaksamaan dan berharap supaya usaha memperkasa masyarakat India ini diteruskan sebagai sebahagian daripada agenda nasional,” katanya.

Beliau turut menekankan tiada komuniti harus tercicir dalam proses pembangunan negara dan pendekatan lebih mampan perlu digerakkan bagi memastikan potensi setiap komuniti dimanfaatkan sepenuhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast