PASIR GUDANG – Gabungan Perikatan Nasional (PN) dengan parti pembangkang lain menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) disifatkan sebagai satu pakatan rapuh dan bersifat sementara.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pasir Gudang, Murad Jailani mendakwa, gabungan itu yang melibatkan 16 parti politik hanya untuk mencari populariti.
“Jika diteliti, kewujudan gabungan ini lebih kelihatan sebagai usaha mencari populariti politik semata-mata bukan berasaskan agenda jelas untuk membela rakyat.
“Gabungan yang longgar, tanpa hala tuju dan dasar yang kukuh, akhirnya hanya akan menjadi platform percaturan kuasa, bukannya penyelesaian kepada masalah sebenar rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti-parti pembangkang bakal mewujudkan sebuah gabungan baharu untuk menghimpunkan semua pemimpin utama parti pembangkang yang tidak bersama-sama dengan kerajaan.
Muhyiddin berkata, meskipun gabungan itu belum mempunyai nama ketika ini, pihaknya sudah memulakan mesyuarat bagi membincangkan pelbagai perkara merentasi isu dan kepentingan rakyat.
Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, langkah membentuk gabungan longgar itu adalah tindakan pertama diambil sebelum diikuti dengan keputusan lain kemudian.
Menurut Muhyiddin, antara perkara akan dilakukan mereka akan berbincang dengan kumpulan masyarakat seperti peniaga, pengusaha dan kumpulan tertentu bagi mendekati masalah yang mereka hadapi serta mencadangkan pendekatan tertentu untuk diambil kerajaan.
Mengulas anjut, Murad berkata, rakyat kini semakin matang menilai dan tidak lagi mahu melihat gimik politik atau pakatan sementara yang tidak kukuh.
“Apa yang rakyat harapkan ialah kesungguhan semua pihak untuk menyelesaikan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, keselamatan dan kesihatan bukannya menubuhkan gabungan longgar tanpa arah,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Madani telah pun mengambil langkah demi langkah menambah baik dasar, memberi bantuan bersasar dan memperkukuh ekonomi rakyat.
“Perbezaannya cukup jelas kerajaan bekerja manakala pembangkang hanya berpolitik. Fokus kita mesti jelas mengangkat martabat rakyat dan memastikan negara terus stabil,” katanya.- MalaysiaGazette















