Ab Rahaman melawat Izzul Islam yang menerima rawata di Islam di Hospital KPJ Puteri, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai tujuh individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung kes buli murid tahun empat sehingga mengalami gegaran otak, pada 7 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad berkata, keterangan percakapan itu melibatkan pegawai perubatan yang merawat mangsa, murid sekolah yang menjadi saksi kejadian serta ahli keluarga, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10.

“Setakat ini tujuh saksi telah diambil keterangan, jika ada keperluan kita akan memanggil beberapa saksi lain bagi melengkapkan siasatan bergantung kepada keputusan laporan perubatan.

“Mangsa masih lagi menjalani rawatan dan pemantauan di hospital, pihak hospital pun belum boleh keluarkan laporan lagi sebab mangsa belum selesai jalani rawatan.

“Jadi polis sedang menunggu laporan perubatan penuh sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mengalami gegaran otak selepas didakwa dibuli dan dipukul oleh rakan sekolahnya,” katanya ketika ditemui selepas melawat Izzul Islam di Hospital KPJ Puteri di sini hari ini.

Terdahulu, ibu mangsa, Siti Suhaina Misdi, 39, mendakwa anaknya, Izzul Islam dipukul dipercayai dipukul oleh seorang murid berusia 10 dan 12 tahun di hadapan kelas di sebuah sekolah agama dan kebangsaan di Skudai ada 21 Februari serta 7 Ogos.

Susulan kejadian, Siti Suhaina membuat dua laporan pada 23 Februari di Balai Polis Skudai serta Balai Polis Larkin pada 15 Ogos lalu.

Bagi kes pertama, mangsa dipukul kerana murid lelaki berusia 12 tahun berang kerana kakak mangsa yang sebayanya dikatakan menolak cintanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast