Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkenan menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang diwakili Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin dan Teroka Majubina Holdings Berhad yang diwakilil Pengarah Eksekutif, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim bagi membangunkan Projek Pembinaan Kompleks Kapal Hibrid (Hybrid Shipyard) di Tanjung Agas, Pekan, Pahang, di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 19 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pahang menerusi Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang dengan kerjasama Teroka Majubina Holdings Berhad akan membangunkan Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas di Pekan, Pahang yang dijangka siap pada tahun 2029.

Menteri Besar Pahang, Datuk Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berimpak tinggi itu melibatkan kawasan seluas 1,010.47 ekar di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas dengan nilai pelaburan sebanyak RM75 bilion.

Menurut beliau, pembangunan mega itu dijangka mampu mewujudkan sehingga 25,000 peluang pekerjaan untuk rakyat khususnya anak Pahang sekali gus memberi limpahan manfaat besar kepada ekonomi negeri dan negara.

“Kompleks ini akan dibangunkan secara berfasa dan merangkumi tiga komponen utama, iaitu Green Vessel Recycling (GVR), sebagai pusat kitar semula kapal berteknologi hijau.

“Komponen lain adalah fasiliti pembinaan kapal yang menyediakan kemudahan pembinaan dan penyelenggaraan kapal.

“Komponen seterusnya adalah Tank Farm Oil Platform yang menyediakan kemudahan penyimpanan minyak dan gas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu, majlis menandatangani perjanjian pajakan bagi pembangunan Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas itu disaksikan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif, Teroka Majubina Holdings Berhad, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, fasa pertama projek itu akan dimulakan dengan pembangunan komponen GVR yang dijangka mula beroperasi pada Julai 2027.

Menurutnya, fasa kedua pula melibatkan fasiliti pembinaan kapal serta Tank Farm Oil Platform yang dijangka beroperasi pada Mac 2029.

Kata beliau, dengan terbinanya Kompleks Hybrid Shipyard itu, Pahang akan muncul sebagai Hab Maritim serantau, Pusat Kitar Semula Kapal Berteknologi Hijau serta Hub Minyak dan Gas yang berdaya saing di rantau ini.

“Selain itu, projek ini juga bakal menjadi pemangkin utama agenda pembangunan negeri selari dengan gagasan Aspirasi Pahang 1st dan pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025-2030 (PET30).

“Melalui kedua-dua gagasan ini, Pahang disasarkan muncul sebagai sebuah negeri yang berdaya tahan, berpendapatan tinggi, inklusif serta memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Saya amat berharap agar pembinaan projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut jadual, seterusnya menjadikan Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas sebagai mercu tanda baharu kemajuan Negeri Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast