Mohd Fared Mohd Khalid

JOHOR BAHRU – Khutbah Jumaat khas berkaitan keburukan dan larangan buli di sisi Islam akan disampaikan di seluruh negeri pada Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, itu adalah antara tiga langkah dan inisiatif segera bagi membanteras gejala buli.

Jelasnya, langkah itu selari dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung usaha besar-besaran bagi menentang kejadian buli.

“Selain khutbah khas, beberapa program turut dilaksanakan termasuk Kempen Anti Buli bersama-sama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

“Kempen Antibuli juga akan diadakan di seluruh Sekolah Agama Kerajaan Johor dan Institusi Pengajian Islam Swasta (IPIS),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Katanya, objektif utama kempen berkenaan adalah bagi meningkatkan kesedaran kepada semua pihak termasuk mahasiswa, pelajar, kakitangan awam dan masyarakat terhadap kesan buruk buli yang biasanya membabitkan trauma, hilang kehormatan dan jati diri serta gangguan emosi kepada mangsa buli yang menjejaskan kehidupan mereka.

Kempen itu katanya, bertujuan membentuk sikap empati dalam diri mahasiswa, pelajar dan masyarakat dalam membanteras gejala buli.

Hari ini, Tunku Mahkota Ismail berkenan supaya kempen anti buli habis-habisan diadakan berikutan penularan kegiatan buli sejak akhir-akhir ini.

Tunku Mahkota Ismail bertitah sedemikian ketika mengadakan ziarah ke atas murid tahun empat, Izzul Islam Azuan Isaidi yang dipercayai mengalami gegaran otak akibat menjadi mangsa buli.

Terdahulu, ibu mangsa, Siti Suhaina Misdi, 39, mendakwa anaknya, Izzul Islam dipercayai dipukul oleh seorang murid berusia 10 dan 12 tahun di hadapan kelas di sebuah sekolah agama dan kebangsaan di Skudai ada 21 Februari serta 7 Ogos.

Susulan kejadian, Siti Suhaina membuat dua laporan pada 23 Februari di Balai Polis Skudai serta Balai Polis Larkin pada 15 Ogos lalu.

Bagi kes pertama, mangsa dipukul kerana murid lelaki berusia 12 tahun berang kerana kakak mangsa yang sebayanya dikatakan menolak cintanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast