Tunku Ismail, Tunku Iskandar bercemar duli diiringi Onn Hafiz melawat Izzul Islam di Hospital Pakar Puteri KPJ, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Antibuli Negeri bertujuan membanteras gejala buli di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, lima teras utama jawatankuasa itu iaitu penyelarasan sekolah, pembabitan pelajar, peranan ibu bapa dan komuniti, kerjasama penguatkuasaan serta kesedaran dan sokongan psikososial.

“Bagi penyelarasan sekolah ia membabitkan taklimat dan mesyuarat berkala bersama-sama guru besar serta pengetua, prosedur operasi standard (SOP) intervensi serta mekanisme pelaporan pantas kes buli.

“Pembabitan pelajar pula bagi Program Rakan Anti-Buli melalui rakan sebaya dan ‘Buddy/Anti-Bullying Ambassador’.

“Bengkel kesedaran, kumpulan sokongan ibu bapa, serta talian ‘hotline’ atau aplikasi aduan sulit disediakan di bawah teras peranan ibu bapa dan komuniti,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, di bawah kerjasama penguatkuasaan pula membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan program ‘Community Policing’ di sekolah.

Di bawah teras kesedaran dan sokongan psikososial pula, beliau berkata, Kempen Johor Anti-Buli, khidmat kaunseling dan modul khas sahsiah pelajar akan dilaksanakan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan berusaha supaya setiap guru besar, pengetua, warden, ibu bapa, pelajar dan agensi keselamatan dapat memainkan peranan dengan jelas dan berkesan.

Beliau mahukan setiap sekolah dan setiap asrama perlu menjadi zon selamat, bebas daripada ancaman buli.

“Kita juga sedar bahawa kes buli paling serius sering berlaku di sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah menengah agama serta sekolah lain yang mempunyai asrama.

“Persekitaran asrama yang berhierarki dan hidup berkelompok boleh mewujudkan budaya senioriti melampau sehingga membuka ruang kepada buli. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan,” ujarnya.

Sokongan kaunseling katanya, akan diperkukuhkan, kesedaran masyarakat dipertingkatkan dan saluran aduan dipermudahkan supaya mangsa berani tampil mendapatkan perlindungan.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri menyambut baik pelbagai inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani isu buli.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri juga mengingatkan semua pihak dan setiap orang bahawa kita mempunyai tanggungjawab untuk menghentikan budaya buli.

Beliau meminta jika melihat, mendengar atau menjadi mangsa buli supaya tidak berdiam diri, gunakan hotline aduan 24 jam yang disediakan.

Bagi murid sekolah hubungi Sistem Aduan Buli KPM menerusi talian 03-8884 9325 atau WhatsApp 014-800 9325, katanya.

“Bagi murid tadika dan pra-sekolah, aduan boleh dibuat melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Setiap laporan anda boleh menyelamatkan nyawa dan masa depan seorang anak Johor.

“Semoga segala usaha ini dapat melindungi anak-anak kita daripada pengaruh budaya ganas dan memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang selamat dan sejahtera. Bersama, kita bentuk Johor sebagai satu kawasan selamat untuk semua,” katanya.

Terdahulu, Onn Hafiz menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail supaya gejala buli dibendung dan langkah penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan segera bagi memastikan setiap institusi pendidikan adalah kawasan yang selamat bagi kanak-kanak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast