Dr. Dominic Lau Hoe Chai

 

KUALA LUMPUR – Data terkini yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan mengesahkan pelaksanaan cukai perkhidmatan dan jualan (SST) oleh Kerajaan Madani lebih menekan rakyat biasa berbanding cukai perkhidmatan barangan (GST) sebelum ini.

Ini merupakan tindakan yang belum pernah berlaku, dan dasar cukai yang digelar sebagai “cukai kerajaan Madani” sebenarnya adalah satu pembohongan sepenuhnya, dakwa Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

“Walaupun pada masa ini barangan yang dikecualikan cukai mencecah 1,826 jenis, iaitu lebih banyak berbanding 607 jenis di bawah GST, namun Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Segamat daripada PH, Yuneswaran, sekali lagi memilih untuk mengelak daripada menjawab isu utama, iaitu di bawah GST, kesemua 10,835 jenis barangan dikenakan kadar cukai tetap 6%,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Namun, dalam 9,616 jenis barangan yang dikenakan cukai jualan SST, sebanyak 5,059 jenis dikenakan kadar 5%, manakala 4,557 jenis lagi dikenakan kadar 10%.

Beliau menegaskan, sebaliknya di bawah GST, kesemua 10,835 jenis barangan dikenakan kadar cukai tetap 6%.

Perbandingan ini jelas menunjukkan SST mengenakan cukai pada kadar lebih tinggi dan skop yang lebih luas.

Beliau berkata, di bawah cukai SST, terdapat barangan yang mengalami pertindihan cukai, sekali gus menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat.

Kerajaan sendiri mengakui perkara ini dalam Laporan Kajian Semula Belanjawan 2024.

Selain itu, SST sebenarnya merangkumi dua jenis cukai berbeza; cukai jualan maksimum 10% dan cukai perkhidmatan maksimum 8%.

Dominic Lau memberi contoh, jika makan di hotel atau restoran, selain perlu membayar cukai jualan 10%, pelanggan juga dikenakan cukai perkhidmatan antara 6% hingga 8%, menjadikan jumlah cukai mencecah 18%.

Lebih-lebih lagi, jika menyewa penapis air secara bulanan, adakah juga perlu membayar cukai jualan 10% dan cukai perkhidmatan 8%?

“Disebabkan Kementerian Kewangan menggunakan cara halus untuk mengenakan cukai secara tidak langsung, kerajaan berani mengunjurkan kutipan cukai SST pada tahun 2025 akan mencecah RM51.7 bilion, dan meningkat kepada RM56.7 bilion pada tahun 2026.

“Hakikatnya, golongan yang paling banyak terpaksa membayar cukai ini adalah rakyat biasa dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” ujarnya.

Beliau turut mengkritik kerajaan yang sebelum ini mendakwa hanya akan mengenakan cukai kepada “golongan maha kaya” dan seterusnya mengembalikan hasil cukai itu kepada golongan miskin.

Namun, kerajaan membatalkan cukai barangan mewah ke atas golongan kaya, malah mengecualikan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penyewaan kapal dan pesawat.

Beliau berkata, walaupun kerajaan mendakwa langkah ini bersifat bersasar, namun kesan rantaian kenaikan harga dan peningkatan kos sara hidup akhirnya akan ditanggung oleh semua rakyat.

Siri kenaikan harga dan pemansuhan subsidi ini akan menambah beban hidup kepada 85% penduduk negara yang terdiri daripada golongan bawahan dan kelas pertengahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast