KUALA LUMPUR – Veteran UMNO Malaysia membidas tindakan pimpinan DAP yang didakwa mendesak sayap pemudanya, DAPSY, membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Salleh.
Pengerusinya, Datuk Othman Desa menyifatkan langkah itu keterlaluan dan tidak membantu usaha memperkukuh semangat saling hormat-menghormati dalam Kerajaan Perpaduan.
“Veteran UMNO berasa resah dengan tindakan keterlaluan pimpinan DAP yang mendesak DAPSY di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Dr. Muhammad Akmal.
“Tindakan sebegini bukan sahaja tidak membantu perpaduan, malah menjejaskan usaha membina suasana saling hormat-menghormati dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, Veteran UMNO berdiri teguh dan bersolidariti penuh bersama Dr. Muhammad Akmal, khususnya dalam isu melibatkan Jalur Gemilang yang dianggap simbol kedaulatan dan maruah negara.
“Usaha menjaga kestabilan dan memupuk perpaduan dengan penuh toleransi adalah tanggungjawab bersama. Namun, Veteran UMNO tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang memperlekehkan atau mengabaikan kemuliaan Jalur Gemilang,” tegasnya.
Othman turut mengingatkan bahawa tanpa penyertaan UMNO, Kerajaan Perpaduan tidak mungkin wujud, justeru beliau menyeru Perdana Menteri memberi perhatian serius agar kestabilan politik dapat dikekalkan hingga tamat penggal pentadbiran.
Veteran UMNO juga memandang berat insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik yang semakin kerap berlaku, dan menganggap ia bukan perkara remeh.
“Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain, tetapi simbol kemerdekaan dan maruah negara. Jika ada pihak mempermainkannya, kami barang pasti tidak akan berdiam diri,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu menyeru seluruh rakyat menghayati nilai patriotisme sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 serta menolak mana-mana pihak yang cuai atau tidak bertanggungjawab terhadap simbol negara.
Terdahulu, Akmal bersama Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang mengadakan satu himpunan berhubung isu bendera terbalik baru-baru ini.
Sebelum ini, media melaporkan permohonan maaf pemilik premis perkakasan yang mengakui kesilapannya sehingga mencetuskan rasa kurang senang masyarakat di seluruh negara.
Ia selepas beberapa platform media sosial menyiarkan rakaman berdurasi 21 saat memaparkan tindakan pemilik kedai berusia 59 tahun itu mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang besi sebelum seorang pekerjanya merakam aksi berkenaan.
Perbuatan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang mahu tindakan diambil susulan kejadian seumpama itu dilihat semakin menjadi-jadi, terutama ketika negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-68.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette

















Bila nak dakwa Apek tu?