Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Realiti politik hari ini memperlihatkan kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) berlaku melibatkan perpaduan dalam kalangan parti politik, bukannya parti yang bergerak secara solo.

Ini kerana menurut Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, kerjasama antara parti politik itu akan membuka ruang untuk menyatukan kekuatan.

Tambah bekas Ketua Menteri Sabah berkenaan, apabila tenaga dan sokongan digabungkan, mesej politik lebih meyakinkan, undi tidak terpecah dan peluang membentuk kerajaan stabil juga lebih tinggi.

Jelas beliau, situasi sama juga terpakai di Sabah yang mana masa depan negeri itu terletak pada kerjasama antara parti-parti politik.

Ujarnya, pengundi di negeri itu akan memilih jalan yang boleh menyatukan kepelbagaian, menjamin kestabilan, membawa pembangunan dan menegakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Rakyat sudah letih dengan episod lompat parti dan kerajaan bertukar. Persoalan utama mereka ialah: siapa boleh menjamin kestabilan untuk lima tahun penuh?

“Dalam konteks politik negara hari ini, pengundi mahu melihat siapa yang mampu bekerjasama dengan Putrajaya untuk membawa pembangunan, pelaburan, peluang pekerjaan dan infrastruktur ke Sabah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Tambah Salleh Said, dalam masa sama, suara Sabah mesti tegas dalam soal autonomi dan MA63.

Katanya, pengundi mahukan hak negeri itu diperjuangkan sebagai milik rakyat, bukan sekadar modal parti politik, dan tanpa mengorbankan kestabilan hubungan dengan pusat.

“Pendekatannya mesti melangkaui partisan politik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan kepentingan peribadi mana-mana pemimpin tidak seharusnya menjadi asas pertimbangan dalam kerjasama politik.

Sebaliknya, tegas beliau, perpaduan mesti dibina atas kepentingan rakyat dan masa depan Sabah.

“Heroisme dan usaha mencipta nama bukanlah agenda rakyat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan rundingan kerjasama dan agihan kerusi dalam gabungan Barisan Nasional (BN); Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi PRN Sabah berada pada peringkat hampir selesai.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, rundingan kerusi bagi ketiga-tiga parti kerajaan Persekutuan dan negeri itu bakal dimuktamadkan sama ada sebelum atau pada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast