KUALA LUMPUR – Kisah hidup Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza diangkat dalam buku teks sekolah di Filipina yang membuktikan statusnya sebagai ikon muzik di rantau ini.
Ia susulan seorang individu dipercayai rakyat Filipina meninggalkan komen di laman TikTok milik penyanyi tersohor itu.
Dia bertanya sama ada Siti Nurhaliza adalah tokoh seni yang dipaparkan dalam buku teks sekolah mereka.
Dalam buku teks berjudul *Gintuang Tinig at Puso ng Asya* (Suara Emas dan Hati Asia), yang disunting oleh Jan Henry M. Choa Jr., nama Siti disenaraikan sebagai salah seorang penyanyi terkemuka dari Malaysia.
Buku teks itu menceritakan perjalanan kariernya, daripada seorang gadis kampung di Pahang kepada ikon global. Ia juga menekankan peranan beliau sebagai teladan kepada generasi muda, terutama melalui lagu-lagu yang mencerminkan identiti budaya Melayu dan nilai Islam.
Sumbangan Siti dalam muzik Asia telah menjadikannya idola, dengan penggemar yang mengaguminya kerana suara emas dan personalitinya yang rendah hati.
Sebelum ini, Siti Nurhaliza dikenali sebagai “Voice of Asia” selepas memenangi gelaran Grand Prix Champion pada pertandingan nyanyian di Almaty, Kazakhstan.
Bakatnya yang luar biasa telah membawanya menjadi salah seorang artis jualan platinum di Malaysia, dengan lebih 50 album yang diterbitkan.
Kejayaannya melangkaui sempadan tempatan apabila wanita berusia 46 tahun ini memenangi anugerah prestij seperti MTV Asia Award dan menjadi tuan rumah acara Channel V. – MalaysiaGazette
















