KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan tidak membuat pengawasan dan pemeliharaan sewajarnya sehingga menyebabkan bayi lelaki yang diasuhnya di sebuah taska, meninggal dunia tiga bulan lalu.
Nor Fatihah Abdul Rahim, 24, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengasuh taska itu didakwa tidak membuat persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan sembilan hari.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di daerah Wangsa Maju, di sini, pukul 11.08 pagi pada 26 Mei lalu mengikut Seksyen 33(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kerana pertuduhan terhadap tertuduh adalah serius kerana melibatkan kematian bayi tersebut.
“Namun sekiranya mahkanah berhasrat memberikan ikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan amaun jaminan tinggi, RM30,000 ke atas dengan syarat tambahan, melapor diri di balai polis sebulan sekali, menyerahkan pasport serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sekiranya jaminan dibenarkan,” katanya.
Namun Nor Fatihah yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan dia bukan datang daripada keluarga senang selain menanggung keluarganya.
“Saya ada tanggungan ibu, adik dan ayah kandung sakit saraf di kampung. Selain itu, saya ada komitmen dan hujung tahun ini akan berkahwin,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah Siti Shakirah membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette
















