Akmal Saleh.

BUKIT MERTAJAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan beliau tidak gentar berdepan pertuduhan di mahkamah berhubung kenyataannya mengenai isu Jalur Gemilang terbalik, malah menyifatkan ia sebagai cubaan untuk menutup mulutnya.

Menurut beliau, perjuangannya bukan bersifat politik atau perkauman, sebaliknya demi mempertahankan maruah bendera negara.

“Saya akan ambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung pertuduhan yang dikenakan terhadap saya dan tak takut untuk menghadapi perbicaraan.

“Sebab bagi saya ini bukan soal politik, ini bukan soal perkauman. Ini soal nak menjaga maruah Jalur Gemilang kita,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Majistret, di sini, selepas selesai prosiding.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut menegaskan bahawa negara ini tidak hanya dimiliki oleh mana-mana kaum tertentu.

“Ini bukan negara saya seorang. Ini bukan negara orang Melayu sahaja dan bukan negara orang Cina sahaja.

“Ini adalah negara kita semua sebagai rakyat satu Malaysia,” katanya.

Muhammad Akmal, 37, yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka berkata, pertuduhan tersebut hanyalah cubaan untuk menutup mulutnya, namun menegaskan beliau sama sekali tidak akan gentar.

“Solidariti hari ini bukan untuk saya, tapi untuk Jalur Gemilang. Saya akan ambil tanggungjawab sepenuhnya dan tidak takut untuk menghadapi perbicaraan.

“Kepada mereka yang mahu menakutkan saya dengan tuduhan ini, jangan bermimpi. Saya tidak akan takut.

“Saya juga berharap rakyat tidak takut untuk tegur apa-apa kesalahan. Kalau hari ini tuduhan yang dikenakan kepada saya untuk menakut-nakutkan kamu, percayalah, saya akan tanggung segala-galanya,” katanya.

Terdahulu, Muhamad Akmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana didakwa memuat naik video di Facebook pada 11 Ogos lalu yang boleh menimbulkan kegentaran awam.

Dalam video itu, beliau memberi tempoh dua hari kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa seorang lelaki yang didakwa mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Jika tiada tindakan diambil, beliau berkata akan “ajar apek” berkenaan cara mengibarkan bendera dengan betul.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan peguam yang membelanya serta kepimpinan UMNO yang memberi sokongan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast