JOHOR BAHRU – Keputusan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang mengarahkan sebuah klinik gigi swasta ditutup 30 hari kerana kesalahan memasang Jalur Gemilang secara terbalik perlu menjadi pengajaran semua pihak.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, tindakan tersebut adalah wajar kerana insiden berkenaan semakin kerap berlaku kebelakangan ini.
“Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyokong penuh tindakan MPPn yang mengarahkan sebuah klinik gigi swasta ditutup 30 hari kerana kesalahan memasang bendera secara terbalik.
“Tindakan MPPn ini wajar dijadikan suatu pengajaran penting yang wajar dijadikan iktibar oleh semua pihak dalam memastikan bendera Malaysia sentiasa dipasang dengan sempurna, lebih-lebih lagi dalam negara menyambut kemerdekaan Malaysia yang ke-68.
“Pemuda UMNO Johor yakin pihak MPPn telah bertindak mengikut lunas undang-undang dan dalam bidang kuasa yang diperuntukkan MPPn sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Sokongan Pemuda UMNO Johor terhadap tindakan MPPn itu selepas Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dilaporkan menggesa kerajaan Johor campur tangan mengarahkan MPPn menarik balik arahan penutupan selaman 30 hari yang dikeluarkan terhadap klinik gigi berkenaan.
Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan penutupan selama 30 hari itu disifatkan keterlaluan dan hukuman tersebut tidak setimpal dengan kesalahan.
Semalam, MPPn mengeluarkan notis penutupan selama 30 hari kepada sebuah klinik pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abd Azim Shamsuddin berkata, pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan Majlis Daerah Pontian (MDP) 2019 di bawah berkaitan pengibaran bendera.
Pemeriksaan MPPn mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan Majlis Daerah Pontian (MDP) 2019 di bawah berkaitan pengibaran bendera.
Setiap premis yang dilesenkan di bawah UUK diwajibkan mengibar Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara dan kaedah betul bagi tempoh tertentu, termasuk sempena bulan kemerdekaan.
Tindakan penutupan dibuat mengikut UUK 49 (2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen.
Bagaimanapun, pemilik premis dilaporkan boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan, namun keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn.- MalaysiaGazette
















