KLUANG – Tidak wajar Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mempertikaikan keputusan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang mengarahkan sebuah klinik gigi swasta ditutup kerana kesalahan memasang Jalur Gemilang secara terbalik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah berkata, perbuatan tersebut tidak membantu meredakan atau menyelesaikan isu tersebut.
“Saya ingin mengulas berita MalaysiaGazette yang telah menyiarkan kenyataan DAPSY mendesak kerajaan negeri untuk menarik balik hukuman penutupan permis 30 hari akibat kesalahan memasang bendera kebangsaan secara terbalik.
“Sebagai parti politik yang menerajui kerajaan Pusat, sepatutnya mereka memikirkan cara atau kaedah bagai mana untuk memupuk semangat patriotik dikalangan masyarakat, bukannya mempertikai hukuman yang telah terbukti salahnya.
“DAPSY diingatkan agar dapat membezakan antara politik dan kesalahan undang-undang dengan mempertikaikan tindakan oleh pihak berkuasa terhadap pesalah yang melakukan kesalahan dalam pemasangan Jalur Gemilang atau bendera Negeri,” katanya.
Syed Hussein yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Tegas beliau, pihaknya ingin mengingat bahawa jangan ada mana-mana pihak yang cuba membuat provokasi untuk meraih sentimen politik murahan dalam negeri ini.
Katanya, jika dibandingkan kesalahan dan hukuman yang dikenakan amat ringan dengan tindakan memasang bendera kebangsaan secara terbalik
Sepatutnya ujar Syed Hussein, kes seperti itu dikenakan hukuman lebih berat kerana isu bendera amat sensitif lebih-lebih lagi berlaku dalam bulan kemerdekaan.
“Maka, saya mengingatkan agar mana-mana parti politik untuk tidak mengamalkan sentimen yang boleh memecahbelahkan masyarakat dan menghasut atau membawa apa jua corak politik yang memberi kesan negatif di negeri ini,” katanya.
Syed Hussein memberitahu, kerajaan negeri ada cara yang tersendiri untuk menjaga perpaduan rakyat dan tidak sesekali mengganggu gugat keharmonian negeri.
Terdahulu, Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan penutupan selama 30 hari itu disifatkan keterlaluan dan hukuman tersebut tidak setimpal dengan kesalahan.
Menurutnya, tindakan MPPn itu juga melampaui kuasa dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tatakelola kerajaan tempatan.
Tambahnya, segala keputusan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) sewajarnya mempertimbangkan impak atau kesan kepada orang awam, bukannya menghukum secara membuta tuli seperti polis moral.- MalaysiaGazette
















