JOHOR BAHRU – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggang terbabas di Jalan Denai 15, Kempas Baru di sini hari ini.
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 9.45 pagi yang melibatkan motosikal jenis Honda AFS110.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 86 tahun dari Jalan Lurah 18 ke Jalan Denai 15.
“Sampai di tempat kejadian motosikal ditunggang tersebut hilang kawalan dan terjatuh di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan dalaman dan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Kes tersebut katanya, disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu melulu dan berbahaya.
Beliau meminta saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zulhisyam Aziz 019-7432966.- MalaysiaGazette
















