KUALA LUMPUR – Lebih 15,000 tiket telah terjual menjelang perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC di Stadium Paroi, Seremban malam esok.
Perkembangan terkini jumlah jualan itu dimaklumkan Facebook rasmi Negeri Sembilan FC sehingga pukul 4 petang tadi.
Sambutan itu didorong oleh beberapa faktor yang menarik seperti kemenangan besar Negeri Sembilan dalam aksi Piala FA baru-baru ini selain pertembungan jurulatih, Nidzam Jamil dengan bekas kelabnya yang kini mampu menjadi salah satu daripada pasukan terkuat tanah air.
Selain itu, penyokong pasukan lawan pula pastinya mengambil peluang untuk turun memberikan sokongan memandangkan venue perlawanan itu dipisahkan dengan jarak sekitar 80 kilometer dengan gelanggang keramat mereka, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Pada masa sama, Selangor juga dalam prestasi terbaiknya selepas mengikat kelab handalan ASEAN dari Thailand, Buriram United FC dalam saingan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee, pada Rabu lalu.
Jualan tiket itu dijangka meningkat dan tidak mustahil habis terjual dalam tempoh terdekat sebelum sepak mula pukul 9 malam esok.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Faliq Firdaus memaklumkan, kapasiti Stadium Tuanku Abdul Rahman pada ketika ini berjumlah 23,000 orang di mana teres bawah mampu memuatkan 15,000 penonton sementara teres atas pula boleh menempatkan 8,000 penonton.
Sebagai rekod, setelah berlangsungnya perlawanan minggu kedua Liga Super, aksi yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Selangor merekodkan kehadiran tertinggi setakat ini dengan catatan 32,777 orang. – MalaysiaGazette
















