KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu mahu tindakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Lokman Noor Adam yang menggelar Muhamad Akmal sebagai ‘Ketua Pemuda H2O’ dan menuduhnya mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai perdana Menteri dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk diteliti dan dikenakan tindakan sewajarnya.
Ketuanya, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi menyifatkan tindakan Lokman sebagai keji kerana bukan sahaja menjatuhkan maruah seorang pemimpin, malah melemahkan parti dari dalam.
Lebih malang lagi, ini bukan kali pertama kerana pada tahun 2019 individu yang sama pernah menghentam Presiden UMNO secara terbuka dan dikenakan tindakan.
Kini, sekali lagi beliau mengulangi perangai lama yang jelas hanya merugikan UMNO.
“Cukup sudah! UMNO tidak boleh terus dibelenggu dengan ahli yang tidak serik-serik. Pemuda UMNO Kota Bharu bersama saya menegaskan, kes ini wajib dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk diteliti dan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, sebagai seorang Ahli MKT, Lokman sepatutnya menjaga maruah parti, bukannya menyerang secara terbuka pemimpin muda yang memegang jawatan setaraf dengan naib presiden.
Beliau turut menyeru agar seluruh pimpinan UMNO, khususnya ahli MKT, berhenti menjadi duri dalam daging.
Sebaliknya fokus menguatkan parti, membela rakyat, dan memastikan UMNO terus relevan dan bukan sibuk menyerang sesama sendiri.
“Pemuda UMNO tidak gentar bersuara. Kami akan terus mempertahankan maruah institusi Pemuda UMNO, mempertahankan pemimpin kami, dan paling penting, mempertahankan parti keramat UMNO,” tambah beliau lagi.
Lagipun, institusi Pemuda UMNO adalah tunggak penting parti dan wajib dilindungi sebagaimana kita melindungi institusi presiden.
Mengulas kenyataan terbuka DAPSY Kedah dan Pulau Pinang yang mahu ‘memutuskan hubungan’ dengan Akmal, Fikhran berkata: “Kepada DAPSY Kedah dan Pulau Pinang, ketahuilah bahawa Dr. Akmal adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia – institusi rasmi parti.
“Jika benar kamu mahu memutuskan hubungan, jangan hanya berani menyerang individu. Bawa usul itu ke meja rundingan Kerajaan Perpaduan, dan kalau ada keberanian, putuskan terus hubungan dalam kerajaan sekarang! Jangan bermain politik separuh jalan,” tegas beliau.
Berhubung insiden Jalur Gemilang dikibarkan terbalik di Pontian, beliau mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Maslan atas ketegasan beliau apabila klinik berkenaan digantung operasi 30 hari sebagai pengajaran.
Namun amat mengecewakan apabila ada pula suara daripada DAP Johor yang mendesak supaya denda itu ditarik balik.
“Saya tegaskan – ini bukan isu remeh! Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan negara. Setiap tahun ada yang cuba mencabar kesabaran rakyat dengan mengibarkan bendera secara terbalik.
“Kali ini, tindakan tegas adalah satu pengajaran. Pemuda UMNO berdiri teguh menyokong hukuman lebih berat dikenakan demi memastikan perkara ini tidak berulang. Hormati negara, hormati bendera, hormati Rukun Negara!,” ujarnya. – MalaysiaGazette














