KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum terjatuh dari jejambat Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) setinggi 21 meter, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.40 pagi di susur 1/B 0.5 lebuh raya berkenaan berhampiran Persiaran Pulau Angsa.
Mangsa yang juga pelajar sebuah kolej swasta dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum melanggar pembahagi jalan di jejambat berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, motosikal jenis Yamaha 135LC terbabas dan mangsa terjatuh dari jejambat dengan ketinggian 21 meter ke kawasan berumput di bawah.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis kini sedang mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 017-2836851,” tambahnya.
Difahamkan, nahas itu adalah kejadian kedua dalam tempoh sebulan selepas insiden pada 26 Julai lalu membabitkan seorang lelaki berusia 23 tahun yang turut maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai terbabas sebelum terjatuh dari jejambat sama setinggi 21 meter di susur 1/B 0.5 lebuh raya itu. – MalaysiaGazette















