KOTA TINGGI – Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM) menangguhkan semua operasi pesawat F/A-18 Hornet susulan insiden sebuah pesawat pejuang itu terhempas di Kuantan, Khamis lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat sementara jawatankuasa penyiasat ditubuhkan pihak tentera terbabit bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Langkah menangguhkan penerbangan itu penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Penangguhan ini membabitkan tujuh buah pesawat pejuang F/A-18 Hornet.

“Pihak tentera udara akan tubuhkan jawatankuasa penyiasat, beri mereka masa untuk melakukan siasatan terhadap punca kapal terbang itu terhempas.

“Apa yang penting kita bersyukur kerana juruterbang dan salah seorang daripada kru itu selamat dalam kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Beramah Mesra bersama Masyarakat Cina Kota Tinggi di Medan Selera Muafakat di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta laporan siasatan berhubung insiden tersebut yang menyaksikan pesawat pejuang itu musnah sepenuhnya malam tadi, dibentangkan Kabinet.

Ini susulan pesawat pejuang milik TLDM itu terbabit dalam kemalangan di Landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, pada Khamis lalu.

Dua juruterbang TLDM dalam pesawat itu dilaporkan selamat dalam kejadian berkenaan.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Mohamed Khaled bertemu penduduk setempat dalam Majlis Beramah Mesra bersama Masyarakat Cina Kota Tinggi di Medan Selera Muafakat, Kota Tinggi, hari ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast