SEGAMAT – Penduduk di daerah ini diminta bertenang, berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa susulan dua gempa bumi yang dua kali berlaku pagi tadi.
Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran berkata, setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku namun terdapat aduan awal berkaitan kerosakan bangunan.
“Setakat ini, polis masih belum mengeluarkan laporan rasmi, namun jabatan serta agensi berkaitan sedang memantau rapi situasi berkenaan.
“Maklumat lanjut akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak berada berhampiran struktur binaan lama atau tidak kukuh yang berisiko runtuh.
Yuneswaran juga mahu penduduk memeriksa kediaman masing-masing bagi memastikan tiada keretakan luar biasa pada bahagian dinding dan tiang.
“Sekiranya terdapat kerosakan, jauhkan diri dan segera maklumkan kepada pihak berkuasa untuk pemeriksaan lanjut. Orang ramai juga disarankan mengikuti perkembangan semasa hanya daripada sumber rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya.
Beliau turut menyeru penduduk agar kekal tenang serta mendoakan keselamatan daerah ini daripada sebarang musibah.
Terdahulu, gegaran pertama bermagnitud 4.1 dilaporkan berlaku di daerah ini pada pukul 6.13 pagi tadi sebelum sekali lagi berlaku kira-kira pukul 9 pagi.
Pada masa sama, gegaran bermagnitud 2.8 direkodkan berlaku di Kluang juga pada pukul 9 pagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















