Mohd Jafni bersama-sama peserta Majlis Pra Pelancaran JSCF 2025 di Hotel Impiana, Johor Bahru hari ini.

KULAI – Johor Smart City Forum 2025 (JSCF 2025) buat kalinya akan melibatkan penyertaan negara-negara ASEAN dan antarabangsa untuk tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, penyertaan tersebut melibatkan tujuh negara ASEAN dalam forum berkenaan adalah sebagai peserta dan juga pempamer.

“JSCF 2025 yang dianjurkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Johor (PLANMalaysia Johor) akan diadakan sepanjang tiga hari, bermula pada 22 September hingga 24 September depan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada). di sini.

“Alhamdulilah, saya dimaklumkan bahawa kita telah mendapat penyertaan daripada Korea, Indonesia, Singapura, Brunei dan
Thailand pada penganjuran kali ini.

“Forum ini adalah tahun ketiga penganjurannya, buat julung kalinya tujuh negara ASEAN menyatakan persetujuan menyertai forum ini dan saya harap akan memberi pendedahan dari segi teknologi yang dipakai negara ASEAN terbabit.

“Kita boleh bertukar ilmu serta teknologi dalam masa sama jalinan kerjasama pintar dapat diwujudkan antara Johor dan negara ASEAN, seterusnya dapat diperluaskan dari segi kefahaman teknologi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Pra Pelancaran JSCF 2025 di Hotel Impiana, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah, PLANMalaysia Johor, Mohd Faizalnizam Md Zain dan Ketua Penolong Pengarah bahagian Kawalan Pembangunan, Bandar Pintar dan Maklumat Digital PLANMalaysia Johor, Mohamad Hussaini Harun.

Menurut Mohd Jafni, pihaknya menyasarkan lebih 15,000 pengunjung akan hadir sepanjang tiga hari berlangsung program terbabit.

Katanya, JSCF 2025, buat pertama kalinya akan mengadakan sesi persidangan atau Dialog Bandar Pintar bersama-sama dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau yang berkaitan dengan bandar pintar di negeri-negeri di Malaysia.

Persidangan itu katanya, akan memberi platform kepada semua negeri untuk berkongsi pengalaman dan inisiatif pembangunan bandar pintar yang telah dilaksanakan di negeri masing-masing.

“Sesi ini juga akan menjadi sesi permulaan untuk kolaborasi antara negeri-negeri bagi mencapai agenda bandar pintar secara keseluruhanya,” katanya.

JSCF 2025 yang akan berlangsung dengan tema ‘Shaping Cities: Empowering Communities’, turut menampilkan pelbagai agenda dan program.

Antaranya sesi ‘Johor City Stage’, sesi perbincangan ‘TechTalk, TechShare, Forum, Speaker Conner’ serta sesi Forum Kepimpinan Bandar Pintar bagi peringkat antarabangsa, nasional dan tempatan.

Dengan kemasukan secara percuma, forum ini juga akan menampilkan lebih 40 pameran berkenaan teknologi dan solusi bandar pintar, pertandingan Robotik bagi peringkat sekolah-sekolah dan juga Anugerah Bandar Pintar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast