BUKIT MERTAJAM – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya melanggar belakang sebuah lori membawa muatan sampah di Jalan Kebun Baru, Juru, di sini hari ini.
Kejadian jam 12 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Mohd Rosaidi Awang, 42, meninggal dunia di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai tiba di lokasi kejadian 14 minit kemudian.
“Sebaik tiba kita dapati kemalangan melibatkan sebuah lori satu tan yang melanggar belakang sebuah lori yang membawa muatan sampah.
“Impak kejadian itu menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu di dalam lori satu tan tersebut.
“Susulan itu, kita membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas menyelamat sebelum berjaya dibawa keluar pada jam 12.49 tengah hari,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis. – MalaysiaGazette















