Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

 

 

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih giat mengesan seorang warga asing, dipercayai pemilik nombor telefon digunakan untuk menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya kini mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan dan siasatan diteruskan.

“Sebarang perkembangan terbaharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan PDRM Special Dialogue III 2025 di sini hari ini.

Mengulas mengenai program itu, Mohd Khalid berkata, ia memberi ruang dan peluang kepada agensi kerajaan, syarikat swasta serta delegasi antarabangsa membincangkan cabaran keselamatan siber, selain memperkukuh kerjasama rentas sektor.

“Dialog ini adalah platform penting untuk kita memahami permasalahan siber serta mencari jalan penyelesaian melalui kolaborasi bersama demi masa depan negara,” ujarnya.

Menurutnya, dua sesi terdahulu telah dilaksanakan dengan kerjasama Alpine Integrated dan Korporasi PDRM, manakala edisi kali ini menyaksikan penyertaan 20 syarikat tempatan serta antarabangsa.

Beliau berkata, PDRM akan terus membuka ruang kerjasama dengan pihak swasta dari semasa ke semasa bagi memastikan isu keselamatan siber dapat ditangani secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pelaksanaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pentadbiran, pengurusan dan penugasan mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja serta menjimatkan masa.

“Dengan adanya AI, banyak masalah dapat diatasi, malah ia dapat meningkatkan keupayaan pasukan agar seiring dengan perkembangan teknologi maklumat semasa.

“Selain itu, pihak polis juga sedang menilai beberapa penyelesaian AI yang boleh diguna pakai dalam pasukan bagi memperkukuh keupayaan operasi di masa hadapan,” katanya.

PDRM Special Dialogue III 2025 menjadi platform perbincangan melibatkan pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta dan delegasi antarabangsa dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik menangani ancaman siber negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast