KUALA LUMPUR – Pelajar antarabangsa di universiti awam (UA) yang melanjutkan pengajian di peringkat prasiswazh dan pasca siswazah hanya berjumlah 53,322 orang atau 8.7 peratus setakat 31 Disember 2024.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka merupakan sebahagian daripada keseluruhan 1.25 juta pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) setakat tempoh sama.
Menurutnya, pelajar antarabangsa di peringkat prasiswazah UA itu meliputi mereka yang mengambil ijazah pertama dan menyertai program mobiliti pelajar.
Sementara itu, katanya, pelajar antarabangsa di lima buah UA iaitu Universiti Malaya (UM); Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) setakat 31 Disember 2024 pula hanya berjumlah 38,388 orang atau 21.3 peratus.
Tambahnya, mereka merupakan sebahagian daripada keseluruhan 180,024 pelajar yang mana 141,636 daripadanya merupakan pelajar tempatan.
“Daripada seramai 38,388 atau 21.3 peratus pelajar antarabangsa di lima UA itu, 15.8 peratus adalah pelajar pasca siswazah dan bakinya iaitu 5.5 peratus adalah pelajar prasiswazah,” katanya.
Penjelasan KPT itu bagi menjawab dakwaan kononnya seramai 27 peratus pelajar di lima UA utama negara adalah pelajar asing, sekali gus menimbulkan kebimbangan kononnya peluang anak tempatan semakin berkurangan.
Tambah kenyataan itu, sesuai dengan status sebagai universiti penyelidikan (RU), kelima-lima buah universiti berkenaan memberi tumpuan kepada pengambilan pelajar antarabangsa di peringkat pasca siswazah.
Katanya, situasi itu berjaya menarik 28,383 pelajar antarabangsa dan menyumbang 46.7 peratus daripada jumlah enrolmen pelajar pasca siswazah.
Tambahnya, kehadiran pelajar antarabangsa di peringkat pasca siswazah khususnya di UA dapat membawa perspektif baharu dalam konteks penyelidikan berdasarkan latar belakang budaya dan akademik mereka.
Ia seterusnya dapat memperkaya perbincangan dan mendorong pendekatan yang lebih kreatif dalam menyelesai masalah.
“Tambahan pula kemasukan pelajar antarabangsa dapat meningkatkan kedudukan universiti dalam penarafan ranking.
“Lantaran itu, KPT tidak mengehadkan sebarang peratusan bagi pengambilan pelajar antarabangsa di peringkat pasca siswazah,” katanya.
Tambah kenyataan itu, semua pelajar antarabangsa dikenakan yuran penuh, tanpa sebarang subsidi oleh kerajaan dan kemasukan ke mana-mana program harus melalui proses saringan serta menepati syarat am dan khusus yang ditetapkan oleh pihak universiti.
Di samping itu, katanya, hasil daripada yuran pelajar antarabangsa berkenaan telah digunakan oleh UA bagi menambah baik dan meningkatkan lagi fasiliti universiti masing-masing untuk dinikmati secara bersama oleh semua pelajar termasuk pelajar tempatan.
Jelasnya, kehadiran pelajar antarabangsa tidak hanya memberi nilai tambah yang besar kepada warga kampus, malah turut mencetus persekitaran pembelajaran yang dinamik dan reflektif dengan keperluan semasa bagi memperluas horizon pemikiran pelajar tempatan tanpa perlu ke luar negara.
“Justeru, dasar pengantarabangsaan dapat membuka peluang terbaik kepada pelajar tempatan untuk berinteraksi dan berkomunikasi serta mempelajari silang budaya sekali gus mempersiap siaga mereka untuk bersaing di peringkat global,” katanya.
Tambahnya, KPT sentiasa cakna dan komited dalam menyediakan tempat kepada calon pelajar tempatan dan tiada sebarang diskriminasi kepada warganegara tempatan untuk mengikuti pengajian di UA.
“Dalam hubungan ini, KPT sentiasa memantau pengambilan pelajar antarabangsa di semua universiti tempatan bagi memastikan pelajar tempatan terus diberi keutamaan dalam sektor pendidikan tinggi negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















