Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

SEGAMAT – Kerajaan Negeri Johor akan terus memantau keadaan jambatan, jalan raya, empangan serta fasiliti utama di daerah ini susulan gempa bumi yang berlaku pada pukul 8.59 pagi tadi di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, ini bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ) akan terus memantau keadaan jambatan, jalan raya, empangan serta fasiliti utama.

“Pihak Petronas juga akan menghantar laporan keadaan aset dan fasiliti mereka di dalam radius terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati, jauhi kawasan atau bangunan tinggi buat sementara waktu, serta peka kepada sebarang arahan pihak berkuasa.

Tambahnya, keselamatan keluarga dan orang sekeliling harus menjadi keutamaan.

Terdahulu penduduk di daerah ini dan kawasan berhampiran dikejutkan dengan gegaran gempa bumi lemah pada magnitud 3.2 yang berlaku pukul 8.59 pagi tadi.

Gegaran tersebut merupakan yang ketiga berlaku di daerah ini selepas gegaran pertama pada Ahad dengan magnitud 4.1 pada pukul 6.13 pagi sebelum gegaran kedua pukul 9 pagi.

Sementara gegaran berukuran 2.8 magnitud dilaporkan di Yong Peng pada pukul 9 pagi hari yang sama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast