PONTIAN – Dua lelaki maut ditemui di bahagian tingkap dan bawah runtuhan bumbung manakala seorang lagi parah dalam kebakaran rumah di Lorong Manggis, Batu 36, Jalan Pontian di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazri Ahmad Shahidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 11 pagi.
“Kebakaran melibatkan rumah teres dua tingkat yang mengakibatkan kemusnahan 80 peratus. Terdapat tujuh penghuni dalam rumah tersebut yang berkeluasan 20X40 kaki,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kebakaran dapat dikawal pada pukul 11.16 pagi sebelum pihak bomba mengeluarkan empat mangsa yang cedera.
Jelasnya, seorang mangsa yang berusia 40-an cedera parah dan melecur 40 peratus bahagian badan sebelum dikejarkan ke Hospital Pontian untuk rawatan.
Sementara tiga lagi lelaki dewasa juga berusia 40-an ujarnya, cedera ringan dan seorang mangsa lelaki berusia 40-an terselamat.
Pemeriksaan lanjut di kediaman itu kemudian menemukan dua lelaki dewasa iaitu, Masabuding dan Nasri yang kedua-duanya warga Thailand dan masing-masing berusia 37 tahun.
Mereka yang berusia 40-an didapati melecur 80 dan 95 peratus sudah meninggal dunia.
Kata beliau, seorang daripadanya ditemui di bahagian tingkap bilik manakala seorang lagi bawah runtuhan bumbung.
Tambahnya, kebakaran masih belum dipadamkan sepenuhnya dan operasi masih dijalankan sehingga kini.
Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette
















