Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Cadangan pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) akan memperkenalkan perekodan data biometrik lebih lengkap termasuk imej 10 cap jari, anak mata dan imbasan muka bagi menambah ciri keselamatan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu dibuat selaras dengan keperluan semasa serta usaha kerajaan meningkatkan tahap keselamatan dan kerahsiaan maklumat pengenalan diri rakyat Malaysia.

“Penambahbaikan tersebut juga seiring dengan cadangan kerajaan untuk mengeluarkan kad pengenalan dengan struktur baharu yang lebih canggih.

“Ia juga selaras dengan cadangan melaksanakan pengeluaran kad pengenalan struktur baharu bagi meningkatkan ciri-ciri keselamatan kad pengenalan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 yang diluluskan dengan lebih suara bersetuju di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 795 tangkapan dibuat melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari tempoh 2021 hingga Ogos tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 326 individu didakwa atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu serta menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

“Situasi ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem keselamatan dokumen pengenalan diri negara,” tambahnya.

Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini dalam perancangan mengeluarkan kad pengenalan generasi baharu dengan ciri keselamatan dipertingkat bagi menggantikan kad sedia ada yang telah digunakan sejak 2012.

“Langkah ini bukan sahaja membendung isu pemalsuan dan penyalahgunaan, tetapi juga memastikan sistem pengenalan negara selari dengan perkembangan teknologi terkini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. ini keselamatan negara kita terbaik lah kepada pihak pendaftaran kalau boleh Pehk imigresen kesan semula sijil lahir..kebanyakan dari dulu sampai sekarang di orang beli kepada orang luar

Comments are closed.