Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke 13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 28 OGOS 2025.

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menaikkan ambang persetujuan kepada 80 peratus bagi pelaksanaan Projek Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau URA dengan mengambil kira hak milik dalam kalangan 20 peratus penduduk terkesan.

Menterinya, Nga Kor Ming menjelaskan, langkah itu membuktikan kerajaan bersedia mendengar pandangan semua pihak termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) berkaitan Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.

“Apabila nilai ambang persetujuan dicapai, barulah proses perbincangan dimulakan antara pemilik dan pemaju. Bukan terus ambil rumah, tetapi mula berbincang supaya penduduk mendapat hak untuk berunding dan menuntut pampasan yang adil.

“Penduduk juga akan dikekalkan di lokasi yang sama selepas proses PSB,” katanya dalam kenyataan selepas membentangkan bacaan kedua Rang Undang-Undang (RUU) PSB di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, ambang persetujuan ditetapkan pada kadar 75 peratus untuk bangunan berusia lebih 30 tahun dan 80 peratus bagi bangunan yang berusia bawah 30 tahun.

Namun, Kor Ming menjelaskan semua nilai ambang kini diselaraskan kepada 80 peratus tanpa mengira usia bangunan.

Antara isu hak milik dalam kalangan baki 20 peratus penduduk yang diambil kira termasuk hak milik yang dicagar atau digadai untuk pembiayaan kewangan, pinjaman tidak berbayar (NPL), hak milik yang belum dikeluarkan, serta pemilik asal yang tidak dapat dikesan.

Menurut Kor Ming, pendekatan ini sejajar dengan prinsip demokrasi yang melindungi hak minoriti tanpa mengetepikan keputusan majoriti.

“RUU PSB menyediakan satu kerangka perundangan yang mengimbangi kedua-dua tuntutan ini, iaitu antara hak individu dan kepentingan kolektif demi kesejahteraan masyarakat dan komuniti bandar secara keseluruhan,” tegasnya.

Menyentuh tentang kepentingan PSB, beliau berkata, kebanyakan bangunan lama semakin berdepan kemerosotan fungsi dan keusangan utiliti seperti lif, tangki air, sistem pendawaian elektrik dan perpaipan yang boleh menjadi lebih kritikal jika perbadanan pengurusan lemah.

“Kelapukan dan keusangan bangunan bukan semata-mata bergantung pada umur fizikal, tetapi juga kepada faktor fungsi dan ekonomi. Jika dibiarkan, keadaan ini hanya akan menjejaskan kualiti hidup penduduk,” jelasnya.

Penduduk yang menyokong RUU PSB sebelum ini turut memaklumkan rumah mereka sudah daif, ada yang dimakan anai-anai hingga menjejaskan struktur kayu dan dinding, selain ketiadaan kemudahan lif yang membebankan warga emas serta golongan kurang upaya.

RUU ini akan dapat menjamin pemilik yang bersetuju menyertai projek pembaharuan akan ditawarkan faedah setimpal termasuk peluang kekal tinggal di lokasi sama serta dimaklumkan mengenai perkembangan projek.

Di bawah akta tersebut juga, status tanah dikekalkan manakala hak pemilik dijamin sepenuhnya.

“Satu jawatankuasa rundingan akan ditubuhkan di peringkat negeri dan persekutuan bagi memastikan suara penduduk sentiasa diambil kira.

“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh hak pemilik malah akan meningkatkan keselesaan, keselamatan serta kesejahteraan hidup penduduk bandar dalam jangka panjang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast