KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari di rangkaian Lebuhraya PLUS sempena cuti hujung minggu dan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada 29 Ogos dan 1 September ini.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal pada musim cuti kali ini untuk menikmati perjalanan yang lancar dan selesa.
Istimewanya kali ini, PLUS memperkenalkan penambahbaikan terbaharu MyPLUS-TTA di dalam aplikasi PLUS untuk memudahkan pengguna merancang perjalanan untuk hari-hari puncak di luar musim perayaan dengan lebih lancar di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
MyPLUS-TTA kini bukan sahaja boleh diakses pada musim perayaan, tetapi turut tersedia pada hari-hari puncak terpilih sempena cuti sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos kali ini.
Berbeza dengan versi perayaan, antara ciri-ciri terbaharu MyPLUS-TTA ialah simpanan laluan kegemaran di bawah fungsi ‘Laluan Kegemaran’ untuk akses lebih pantas dan perancangan perjalanan yang lebih lancar.
Ia juga menampilkan paparan ‘Amaran Masa Nyata’ terus pada halaman hasil carian, sekali gus memberikan maklumat segera mengenai keadaan trafik.
Selain itu, fungsi carian turut dipertingkat dengan pilihan ‘menu ke bawah’ menggantikan kaedah menatal sebelum ini bagi memudahkan pemilihan laluan dengan lebih cepat dan mesra pengguna.
“Tidak seperti musim perayaan di mana tarikh perjalanan telah ditetapkan lebih awal, PLUS akan terus memantau aliran trafik harian dan mengemas kini nasihat tempoh puncak secara berterusan, bagi memastikan pengguna menerima panduan perjalanan yang paling relevan secara masa nyata.
“Orang ramai digalakkan memuat turun atau mengemas kini aplikasi PLUS di https://bit.ly/3pO2PYs bagi merancang perjalanan dengan lebih mudah,” kata PLUS dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette














