GEORGE TOWN – Lima sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas empat pertuduhan berasingan melibatkan pengedaran dan pemilikan dadah jenis kanabis di Gelugor, dua minggu lalu.
Bagi pertuduhan pertama, penganggur Muhammad Khalis Abdul Kudus, 39, bersama dua nelayan, Amirul Din Abdul Aziz, 44, dan Mohd Firdaus Mohd Fodzi, 40, didakwa mengedar kanabis seberat 29,902 gram di kawasan parkir hadapan sebuah rumah di Persiaran Sungai Gelugor 2, pada 15 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Khalis dan Amirul Din sekali lagi dituduh mengedar kanabis seberat 16,179 gram di sebuah rumah lokasi sama pada jam 12.50 tengah malam, pada 16 Ogos lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh selepas kes disebut di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.
Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan Muhammad Khalis bersama Azhar Omar, 57, dan Mohd Ekmal Kamarudin, 47, turut didakwa memiliki kanabis seberat 43.91 gram di ruang tamu sebuah rumah pada 15 Ogos.
Bagi kes itu, Azhar dan Mohd Ekmal mengaku bersalah, manakala Muhammad Khalis mengaku tidak bersalah.
Mahkamah membenarkan Azhar dan Mohd Ekmal diikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Dalam pertuduhan keempat, Amirul Din dan Mohd Firdaus didakwa bersama-sama memiliki 2.96 gram kanabis di sebuah bilik rumah di Persiaran Sungai Gelugor 2 pada hari sama.
Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM3,000 seorang.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin.
Azhar dan Mohd Ekmal diwakili Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK) manakala Muhammad Khalis diwakili peguam, Muhamad Asri Abdul Hamid.
Mahkamah menetapkan 12 November depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia. – MalaysiaGazette















