KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyeru ruang penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) hingga ke sidang Dewan Rakyat akan datang dimanfaatkan dengan melaksanakan libat urus lebih menyeluruh bersama semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh.
Sambil menyambut baik penangguhan itu yang turut menjadi gesaan parti berkenaan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN telah meminta beberapa peruntukan di dalam RUU tersebut untuk diperhalusi semula.
Ia kata beliau, khususnya berhubung tahap persetujuan bagi projek pembaharuan; skop kuasa eksekutif serta penentuan nilai ambang yang boleh menjejaskan hak pemilik.
“Ini berpotensi mengganggu hak autonomi negeri, serta mengugat kestabilan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, BN turut menegaskan keperluan untuk memperluas rundingan bersama kerajaan negeri, penduduk asal serta pakar perancangan bandar supaya suara rakyat dari semua lapisan dapat diambil kira.
Selain itu, ujar beliau, BN turut menekankan bahawa sebarang transformasi bandar bukan sekadar soal pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga mesti adil, berimbang dan selaras dengan prinsip Perlembagaan.
“Walaupun RUU ini penting bagi masa depan pembangunan negara, BN turut meminta agar dikaji secara teliti supaya ia benar-benar membawa manfaat holistik kepada semua rakyat dan komuniti yang terlibat,” katanya.
Semalam media melaporkan, perbahasan dan pengundian RUU PSB 2025 ditunda ke sidang Dewan Rakyat akan datang yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.
RUU itu berdepan penolakan kuat daripada pelbagai pihak khususnya daripada wakil rakyat pembangkang termasuk beberapa Ahli Parlimen kerajaan daripada BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri. – MalaysiaGazette
















