Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR – Penduduk Sabah berhak untuk berbeza sokongan politik dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) akan datang, namun perlu dipastikan tidak menjejaskan perpaduan dan adab politik.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, persaingan politik dalam kalangan parti-parti di negeri itu juga mesti berasaskan idea membangunkan negeri dalam semangat Perjanjian Malaysia (MA63), bukan dengan maki-hamun atau fitnah.

Malah, bekas Ketua Menteri Sabah berkenaan turut mengaitkan budaya berpolitik di negeri itu dengan semangat kemerdekaan yang mengajar setiap rakyat bahawa kekuatan bangsa datang daripada kebersamaan, bukan perpecahan.

“Kemerdekaan tidak bermakna jika politik hanya menanam sengketa.

“Ia mesti diisi dengan kestabilan, keadilan, dan peluang untuk semua rakyat Sabah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Salleh turut mengingatkan perpaduan dalam kalangan penduduk Sabah merupakan kunci yang mana hanya dengan kestabilan dan kerjasama, negeri itu akan benar-benar maju dalam Malaysia yang kuat.

“Sabah lebih besar daripada sengketa, dan Malaysia lebih bermakna dengan perpaduan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata, PRN-17 Sabah boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang hingga Oktober depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast