KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk meletakkan kepentingan nasional dan Bumiputera sebagai pertimbangan utama dalam membuat sebarang keputusan berhubung pelupusan aset lebuh raya di bawah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).
Perdana Menteri berkata, selaku institusi yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan nasional dan Bumiputera, PNB perlu mengekalkan peranan serta pegangan dalam aset-aset strategik negara.
“Saya mengambil maklum mengenai semakan strategik oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) terhadap pelaburannya dalam kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, PNB dilaporkan sedang menilai penjualan portfolio lebuh raya tol di bawah Prolintas iaitu Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) serta 51 peratus pegangan dalam Prolintas Infra Business Trust.
Pada Julai lalu, IJM Corp dan AFA Prime Bhd dilaporkan antara pihak berminat dengan aset lebuh raya tersebut.
Menurut Anwar, proses semakan ini tidak wajar diteruskan sekiranya ia menjejaskan manfaat jangka panjang pemegang unit atau memberi kesan negatif kepada usaha PNB menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. – MalaysiaGazette















