KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 September depan bagi pengurusan kes saman fitnah bernilai RM10 juta yang difailkan oleh Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terhadap Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Peguam Wan Ahmad Fayhsal, Chetan Jethwani, ketika dihubungi media mengesahkan tarikh baharu itu ditetapkan selepas pengurusan kes yang dijadualkan hari ini batal.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan mahkamah tidak memberikan alasan bagi penangguhan tersebut.
Farhash, bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman tersebut berhubung kenyataan yang didakwa dibuat oleh Wan Fayhsal di perkarangan Parlimen pada 14 November tahun lalu.
Dalam tuntutannya, Farhash mendakwa kenyataan itu memberi gambaran seolah-olah beliau menawarkan sogokan atau mengugut ahli Parlimen bagi menyokong Anwar serta kerajaan ketika ini.
Dakwa Farhash, kenyataan berbaur fitnah itu menjejaskan reputasi serta mencemarkan namanya, termasuk kedudukannya sebagai pengerusi dan pengarah dalam beberapa syarikat tersenarai awam.
Farhash kini tidak lagi aktif dalam politik tetapi masih memegang jawatan pengarah di 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dan Apex Equity Holdings Bhd.
Melalui saman itu, beliau menuntut ganti rugi khas, am dan teladan berjumlah RM10 juta, selain jumlah tidak ditentukan daripada defendan.
Farhash juga memohon injunksi bagi menghalang Wan Ahmad Fayhsal daripada mengulangi kenyataan berkenaan serta perintah mahkamah supaya semua hantaran berkaitan di platform media sosial defendan dipadamkan. – MalaysiaGazette
















