KUALA LUMPUR – Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, isterinya Datin Seri Zizie Izette A. Samad tidak pernah memaklumkan beliau menerima wang pengenalan RM2.8 juta berhubung pelaburan Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, beliau hanya mengetahui perkara tersebut ketika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan kes yang dihadapinya.
Beliau turut menafikan bersubahat dengan isterinya melakukan salah laku berkaitan pelaburan tersebut.
Bung Moktar selanjutnya bersetuju bahawa Zizie Izette tidak pernah memberitahunya atau meminta nasihat berkaitan bentuk pelaburan yang dilakukannya.

Beliau menyatakan demikian ketika disoal balas oleh peguam Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette pada perbicaraan kes pasangan itu yang menghadapi tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta wang Felcra berkaitan pelaburan dalam unit amanah Public Mutual.
Pada 27 Januari 2022, perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar memberitahu mahkamah, Zizie Izette layak mendapat wang pengenalan (introduction fee) RM2.8 juta selepas Felcra bersetuju melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Norhaili berkata, Zizie Izette yang juga kenalannya berhak mendapat wang itu selepas memperkenalkan beliau kepada Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra dan seorang lagi pegawai kanan agensi itu.
Ujarnya, sebanyak RM2.2 juta dibayar secara tunai di Public Bank Taman Melawati manakala selebihnya kira-kira RM800,000 dipecahkan dalam bentuk pelaburan yang dibayar semula ke dalam akaun unit amanah Public Mutual milik Zizie Izette.
Pada prosiding hari ini, Bung Moktar bersetuju bahawa isterinya seorang artis terkenal dan mengurus perbelanjaan sendiri sebelum mereka berkahwin.
Peguam: Zizie Izette tidak perlu menggunakan wang sendiri untuk perbelanjaan Datuk Seri atau keluarga?
Bung Moktar: Betul.
Peguam: Zizie Izette juga tidak pernah memberitahu Datuk Seri pendapatan yang diperolehinya?
Bung Moktar: Betul.
Peguam: Oleh kerana kebebasan yang Datuk Seri beri kepada isteri, beliau juga tidak pernah campur urusan kerja atau urusan di Parlimen?
Bung Moktar: Ya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu turut bersetuju bahawa isterinya tidak pernah memberikan pandangan terhadap urusan kerja yang dilakukan, mahupun berbincang mengenai hal-hal rasmi dengannya.
Menurut Bung Moktar, beliau juga tidak pernah mendedahkan kepada isterinya bahawa Public Mutual telah mengadakan pembentangan cadangan pelaburan Felca dalam unit amanah.
Menurut pertuduhan, Bung Moktar, 66, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada Madhi Abdul Ghani menerusi Zizie Izette, 47, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung petang ini. – MalaysiaGazette















