Syabu yang dirampas mampu merosakkan sehingga sejuta nyawa

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM6.55 juta selepas merampas syabu seberat 204 kilogram dalam satu serbuan di Pasir Mas, Kelantan pada 25 Ogos lalu.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman antara jam 7 hingga 10 malam itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lewat 20-an.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan lanjut menemukan tujuh guni berisi 396 bungkusan plastik bertulis pelbagai jenama yang kesemuanya mengandungi syabu.

“Jumlah rampasan ini dianggarkan mampu merosakkan sehingga sejuta nyawa sekiranya terlepas ke pasaran. 

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan menggunakan pengkalan haram di Kampung Terusan, Rantau Panjang untuk membawa masuk dadah dari negara jiran menggunakan bot sebelum disembunyikan di kawasan semak,” katanya.

Menurutnya, suspek yang ditahan didapati positif methamphetamine dan mempunyai lima rekod lampau membabitkan empat kes berkaitan dadah serta satu kes jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Polis turut menyita sebuah kereta, sebuah van serta wang dalam akaun bank berjumlah RM708 dengan nilai keseluruhan sitaan RM6.55 Juta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

“Suspek kini kini direman selama 14 hari sehingga 8 September depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti sindiket melalui talian hotline JSJN 012-208 7222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast