PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan cadangan menubuhkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus untuk orang kurang upaya (OKU) akan dibawa ke peringkat tertinggi.
Menurut beliau, cadangan itu antara yang paling signifikan dibangkitkan oleh peserta dalam sesi libat urus kementeriannya hari ini.
“Sesuatu yang agak berlainan kali ini adalah cadangan supaya TVET diadakan khusus untuk golongan OKU. Saya akan bawa perkara ini ke Majlis TVET Negara dan seterusnya kemukakan kepada Kementerian Kewangan supaya dijadikan salah satu agenda dalam ucapan Belanjawan pada 10 Oktober ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas menghadiri Dialog Tertutup Belanjawan 2026 KKDW bersama pihak berkepentingan di Dewan Seri Lestari di sini hari ini.
Kata Ahmad Zahid, masyarakat OKU tidak boleh dipinggirkan malah mereka wajar diberi peluang sama rata dengan kursus-kursus bersesuaian dengan keupayaan, minat dan kehendak pasaran kerja.
Selain itu, beliau turut menyentuh cadangan agar pelajar sekolah pondok dan sekolah agama rakyat diberi ruang menyertai program TVET selari dengan usaha kerajaan memperluas akses latihan teknikal kepada semua lapisan masyarakat.
Lebih menarik, katanya, terdapat permintaan daripada wakil Pantai Timur supaya diwujudkan kursus TVET maritim yang sesuai dengan ekosistem setempat.
“Di Pantai Timur, mereka mohon supaya kursus TVET maritim diadakan, iaitu bukan hanya melatih anak muda menjadi nelayan kecil-kecilan, tetapi sebagai nelayan laut dalam dan usahawan dalam bidang kelautan.
“Walaupun UniKL sudah ada fakulti kelautan di Lumut, mungkin cadangan menubuhkan TVET maritim khusus di Pantai Timur wajar dipertimbangkan,” jelasnya.
Beliau berkata usaha melahirkan generasi nelayan yang berdaya saing dalam sektor laut dalam adalah mencabar tetapi berpotensi besar untuk meningkatkan ekonomi negara.
Untuk makluman, KKDW hari ini telah menganjurkan Sesi Dialog Belanjawan 2026 KKDW yang dipengerusikan Ahmad Zahid yang bertujuan mengumpul pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan penyediaan Belanjawan 2026 dapat dilaksanakan secara lebih inklusif dan menyeluruh.
Usaha itu juga selaras dengan keputusan kerajaan pada 1 Ogos lalu yang mewajibkan semua kementerian mengadakan sesi libat urus belanjawan bersama pihak berkepentingan masing-masing.
Sesi hibrid berkenaan melibatkan seramai 1,050 peserta dengan 300 hadir secara fizikal manakala 750 lagi menyertai secara dalam talian dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Para peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, ketua jabatan dan agensi di bawah KKDW, Pejabat KKDW Negeri, persatuan perniagaan, dewan koperasi, usahawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik. Turut hadir, wakil daripada Pasukan Belanjawan, Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette















