KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didesak menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Perisikan (JPP) bagi memantau, menyiasat, dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan yang berpotensi memecahbelahkan parti dari pucuk pimpinan sehingga ke akar umbi.
Setiausaha Bahagian Damansara, Aliff Taufid mendakwa sepanjang bulan September sahaja, imej dan maruah parti tercalar dengan dua insiden besar yang tidak seharusnya berlaku – pertama, kenyataan melampau oleh Ketua Bahagian Bersatu Gopeng, dan kedua, provokasi terancang yang jelas berlaku di dalam dewan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di IDCC Shah Alam.
“Cukup-cukuplah permainan politik kotor dalaman. Kita tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan biadab atau cuba membuat kacau dalam dewan PAT. Jika dibiarkan, ia akan membuka ruang untuk pihak lawan mentertawakan Bersatu sebagai parti yang berpecah dan tidak berdisiplin,” tegas beliau.
Aliff turut membangkitkan isu surat layang dan laporan mengenai gerakan memungut tandatangan dalam kalangan pimpinan Bersatu, yang dipercayai sebagai usaha terancang untuk menjatuhkan presiden parti.
“Cubaan-cubaan khianat seperti ini adalah pengkhianatan kepada perjuangan. Jika benar ada tangan-tangan gelap yang merancang menjatuhkan presiden melalui cara jijik ini, maka mereka wajar diheret ke muka pengadilan parti dan digantung keahlian tanpa kompromi,” ujarnya.
Beliau menegaskan, penubuhan JPP adalah langkah proaktif untuk memastikan Bersatu kekal bersih, tersusun, dan tidak digugat oleh pengkhianat dalaman yang boleh melemahkan fokus parti menjelang PRU16.
“Apabila JPP diwujudkan, disiplin parti dapat ditegakkan dengan lebih menyeluruh. Keamanan dalaman dapat dijamin, dan saya percaya BERSATU akan lebih mampan serta tahan uji untuk jangka panjang,” katanya lagi.
Aliff mengingatkan Bersatu mesti belajar daripada sejarah lalu di mana perpecahan dalaman menjadi punca tumbangnya banyak parti politik dan menyeru agar MPT segera memutuskan perkara ini tanpa lengah.
“Musuh utama kita bukan hanya di luar, tetapi juga di dalam. Jika kita tidak berani membersihkan parti daripada pengkhianat dalaman, jangan harap rakyat akan menyerahkan amanah kepada kita. Tindakan mesti tegas, cepat dan tanpa belas kasihan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette
















