GOMBAK – Hampir dua dekad berlalu namun isu setinggan di Kampung Fajar di sini masih belum menemui noktah.
Bagi kira-kira 120 keluarga yang menetap di kawasan itu hampir 60 peratus daripadanya masyarakat India yang kehidupan mereka terus terhimpit di celah-celah pembangunan pesat sekitar Gombak.
Bendahari Keadilan Gombak, Datuk Zainol Abidin Mohamed berkata, penantian yang begitu lama telah meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk yang sudah sekian lama mendambakan kehidupan lebih selesa.
“Persoalan mereka hanya satu, bila isu setinggan Kampung Fajar ini hendak selesai?
“Hampir 20 tahun mereka menunggu, hidup dalam rumah yang uzur dan sempit sedangkan pembangunan moden terus tumbuh di kawasan sekelilingnya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Difahamkan keadaan rumah setinggan di kampung berkenaan amat menyedihkan dengan ada yang hanya beratap zink lama, berdinding papan yang sudah reput dan berlantaikan simen pecah.
Ketika hujan, air sering melimpah masuk menyebabkan penduduk terpaksa menadah bekas bagi menampung titisan dari bumbung bocor.
Malah ada tiga generasi tinggal sebumbung dalam ruang yang sempit dengan anak-anak terpaksa berkongsi bilik kecil manakala warga emas hidup dalam keadaan tidak selesa dengan kemudahan asas serba kekurangan.
“Ini bukan sekadar soal rumah tetapi soal maruah. Kita bercakap tentang keluarga yang mahu membesarkan anak-anak dalam keadaan lebih baik tetapi setiap kali hujan lebat, mereka masih bimbang rumah akan banjir atau bumbung runtuh,” ujar Zainol.
Beliau berkata, kerajaan negeri pernah menawarkan rumah baharu bersaiz 850 kaki persegi kepada penduduk namun cadangan itu perlu diteliti semula kerana keluasan berkenaan terlalu kecil untuk menampung keperluan keluarga besar.
“Kita harap kerajaan negeri menilai semula cadangan rumah 850 kaki persegi itu. Ia mungkin sesuai untuk keluarga kecil tetapi ramai di Kampung Fajar mempunyai anak ramai dan memerlukan ruang yang lebih selesa,” jelasnya.
Menurut Zainol, isu setinggan tidak boleh lagi dilihat hanya daripada sudut perumahan semata-mata tetapi menyentuh aspek lebih luas termasuk kesihatan, pendidikan, keselamatan dan masa depan generasi muda.
“Anak-anak yang membesar dalam rumah daif ini berhak mendapat peluang yang lebih baik. Mereka tidak sepatutnya terus hidup dalam keadaan kedaifan ketika negara kita sedang membangun pesat,” katanya lagi.

Beliau berharap kerajaan negeri tampil dengan penyelesaian yang jelas dan segera agar penantian puluhan tahun itu berakhir dengan sinar harapan baharu buat seluruh keluarga di Kampung Fajar.
Lebih penting lagi, kata Zainal, masalah itu juga sejajar dengan aspirasi tertinggi negara di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembangunan memberi manfaat bukan hanya menjulang pencakar langit tetapi juga memastikan setinggan tegar di tengah bandar tidak terus terpinggir.
Sebelum ini, Anwar menegaskan, pembangunan semula bandar mesti membela nasib warga miskin yang selama ini terperangkap hidup dalam flat usang, setinggan dan daif walaupun pembangunan bandar sekeliling melonjak maju. – MalaysiaGazette
















Sudah ditawar rumah 850kps…masih kecil..apakah mereka perlu gantian rumah bertaraf Bangalow baru puas hati.