JOHOR BAHRU – Seorang remaja berusia 16 tahun antara empat ditahan selepas polis mengejar kereta dinaiki kerana terlibat dalam kes curi kabel di sekitar Majidee, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, insiden itu berlaku pada pukul 5.15 pagi semasa kereta tersebut dilihat dalam keadaan mencurigakan.
“Suspek cuba melarikan diri hingga ke Jalan Bunga Raya sebelum berjaya diberkas bersama-sama kereta yang digunakan.
“Polis turut merampas peralatan mencuri kabel serta kabel yang dicuri semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan berusia 16 hingga 26 tahun dan seorang lelaki warganegara asing.
Hasil semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan curi kabel, katanya.
“Ujian air kencing pula mengesahkan tiga suspek positif methamphetamine,” jelasnya.
Kata Raub, semua suspek direman empat hari sehingga 10 September ini untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Beliau memberitahu, tiga suspek positif dadah turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek warga asing pula ujarnya, disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Raub menambah, kejayaan tangkapan itu juga menyelesaikan enam kes curi kabel di sekitar Johor Bahru.
Sebelum itu, tular video berdurasi lebih dua minit itu, memaparkan kereta peronda polis mengejar kereta suspek.- MalaysiaGazette
















