KUALA LUMPUR – Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar mengesahkan tiada rakyat negara ini dilaporkan terkesan dalam serangan udara rejim zionis semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, semua rakyat Malaysia di Qatar adalah dinasihatkan untuk terus berjaga-jaga dan menjauhi kawasan kejadian.
“Kementerian Luar Negeri Qatar telah mengesahkan bahawa kejadian letupan yang berlaku adalah serangan rejim Israel ke atas pejabat pemimpin Hamas di kawasan Legtaifiya, Doha.
“Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terkesan dalam serangan tersebut,” jelas pihak kedutaan dalam kenyataan.
Justeru rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui sumber-sumber sahih yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Qatar.
“Kerajaan Qatar juga telah memberi jaminan bahawa keadaan kini adalah terkawal sepenuhnya dan ruang udara Qatar tidak akan ditutup,” katanya.
Terdahulu serangan berlaku apabila rejim Israel melancarkan serangan udara ke atas pejabat kepimpinan Hamas di kawasan Legtaifiya, Doha. – MalaysiaGazette















