KUALA LUMPUR – Isu-isu yang kehidupan rakyat menjadi keutamaan dalam Muktamar Tahunan Pas ke-71 yang berlangsung esok hingga 16 September ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, agenda muktamar kali ini akan lebih menumpukan kepada solusi praktikal untuk rakyat terutamanya berkaitan ekonomi dan kos sara hidup.

“Kita berada dalam fasa di mana rakyat berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi.

“Justeru, perbahasan nanti untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi meringankan beban rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi program SKOPMG yang membincangkan tajuk ‘Menguji Kepimpinan Dari Kota Sarang Semut Ke Putrajaya?’.

Khairil Nizam berkata, Pas lebih berminat untuk membuktikan keupayaannya dalam pentadbiran dan menangani masalah rakyat berbanding terlibat dalam isu lain.

“Kita kena cari jalan untuk mengurangkan beban rakyat. Kerajaan hari ini tidak mampu untuk menguruskan negara dengan baik, jadi Pas perlu tampil dengan cara paling praktikal untuk memperbaiki perkara-perkara ini dan ini saya rasakan itu lebih penting,” ujarnya.

Ditanya sama ada perbahasan nanti akan menyentuh isu calon perdana menteri memandangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah mengumumkan calon, Khiaril Nizam berkata, perkara itu mungkin tidak dijadikan agenda utama.

“Tidak ada keperluan mendesak untuk isu ini dibahaskan dan masanya juga belum tiba.

“Seperti saya katakan, isu rakyat dan ekonomi lebih menjadi tumpuan. Kalaupun ada yang bertanya mengenai ini, apa yang boleh saya katakan Pas ada ramai calon untuk diketengahkan.

“Dengan pentadbiran empat negeri, saya yakin kita ada calon terbaik.

“Kami juga mempunyai 43 wakil rakyat di Dewan Rakyat. Lihatlah bagaimana kami membawakan isu-isu yang berbangkit dengan rakyat, tetapi berbalik kepada tujuan asal muktamar, perkara ini bukan keperluan,” tambahnya.

Jelasnya lagi, semua parti boleh memberikan siapa juga nama yang mereka rasakan sesuai dan layak tetapi perkara itu perlu melalui meja rundingan.

“Saya tidak kata itu tidak penting, tetapi keperluan utamanya bukan itu.

“Saya amat berharap semua ahli dan saf kepimpinan dapat berkongsi pandangan di dalam muktamar ini nanti.

“Inilah tujuan muktamar iaitu meja rundingan dan setiap idea dan pandangan boleh dibentangkan di sini,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast