JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan penyeludupan air zam-zam dan cecair rokok elektronik bernilai RM3.42 juta di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, dekat sini, bulan lalu.
Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan kontena dalam dua operasi berasingan di Zon Bebas Pelabuhan Johor dan sekatan lori di KSAB.
Beliau memberitahu, menerusi kes pertama pada 5 Ogos, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Pasir Gudang menahan sebuah kontena 12.19 meter sebelum disusuli sitaan tiga lagi kontena pada 14 Ogos di Bay Pemeriksaan Kontena, Zon Bebas Pelabuhan Johor.
“Kontena-kontena berkenaan disyaki membawa dagangan larangan. Hasil pemeriksaan rapi menjumpai sebanyak 21,582 botol air zam-zam bersamaan 107,910 liter dagangan yang disyaki air zam zam yang mana tiada sebarang permit import dikemukakan.
“Air zam zam adalah barang larangan yang mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import mengikut Butiran 35, Bahagian I, Jadual III, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Dagangan dalam kontena telah diikrar melalui Borang Kastam 4, Inward Manifest dan Bill of Lading sebagai Holy Water/ ordinary water.
“Nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM2.58 juta manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM647,460 menjadikan keseluruhannya kira-kira RM3.23 juta,”katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Peraturan 30(1), Peraturan Zon Bebas 1991.
Sementara kes kedua, Aminul Izmeer berkata, JKDM Johor berjaya mengesan taktik licik memyembunyikan sebilangan cecair vape di bahagian belakang tempat duduk pemandu, yang disyaki tidak diikrar bagi tujuan pengeksportan Anggaran dagangan tidak berkastam.
Katanya, dalam kejadian 6 Ogos lalu itu, Unit Mesin Pengimbas, Customs Border Management (CBM) Cawangan Eksport Stesen Gelang Patah mengesan imej mencurigakan sebuah lori Hino di Bay Pemeriksaan Eksport KSAB.
“Pemeriksaan menemui 7,680 unit cecair rokok elektronik (E-liquid Pods) disembunyikan di bahagian belakang tempat duduk pemandu, selain 84 Bobbins Automotive Wire yang diikrarkan dalam Borang Kastam 2.
“Turut disita sebuah lori Hino bernilai RM130,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini sebanyak RM185,576 termasuk cukai,” katanya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.- MalaysiaGazette















