MELAKA – Kolej Komuniti berperanan penting sebagai tapak awal membina keyakinan belia untuk bersaing di pentas antarabangsa dengan menyediakan peluang pendidikan, kemahiran dan jaringan global.
Pengerusi Yayasan Belia Sedunia (WYF), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, kursus-kursus yang ditawarkan termasuk program jangka pendek serendah RM5 hingga ke peringkat diploma bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknikal.
Malah, jelasnya, ia memberi mereka laluan untuk menonjolkan diri melalui jaringan WYF di peringkat global.
“Ramai belia mungkin berdepan cabaran akademik, tetapi Kolej Komuniti memberi mereka ruang kedua dan WYF pula bekerjasama rapat dengan guru kaunseling dan ikon belia.
“Ini penting untuk memotivasikan mereka melengkapkan pendidikan serta mengasah potensi diri,” katanya pada Program Bicara Strategik Bersama Kolej Komuniti dan Pengamal Media Negeri Melaka anjuran WYF di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung WYF Datuk Norsabrina Mohd Noor dan Pengarah Kolej Komuniti Jasin Mohamad Kelana Juwit.
Menurut Mohd Ridhwan, dengan rangkaian WYF di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hasil inovasi belia seperti produk kelestarian berkonsepkan waste turn into money boleh diketengahkan di pentas antarabangsa.
Usaha itu, jelas beliau sekali gus membuka peluang geran, pelaburan dan pasaran lebih luas.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Politeknik dan Kolej Komuniti Melaka Negeri Sembilan, Razali Bakri menegaskan penglibatan media amat penting dalam meningkatkan keterlihatan institusi berkenaan kepada masyarakat.
“Liputan media membantu memperluas pemahaman masyarakat mengenai fungsi Kolej Komuniti, contohnya peningkatan pengambilan pelajar pada sesi ini membuktikan impak positif hasil kerjasama media,” katanya.
Melaka ketika ini mempunyai enam Kolej Komuniti iaitu di Bukit Beruang, Jasin, Masjid Tanah, Selandar, Tangga Batu dan Kota Melaka yang menawarkan kursus kemahiran, diploma serta pembelajaran sepanjang hayat. – MalaysiaGazette
















