Pengerusi jawatankuasa hak penduduk kg sg baru, Zainab Alias (kanan) bercakap kepada wartawan ketika sidang media oleh wakil Kampung Sungai Baru diadakan atas isu pengusiran penduduk di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 12 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias menafikan dakwaan adanya penduduk menerima pampasan lumayan mencecah sehingga RM3.8 juta seperti digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.

Beliau menggesa pihak berwajib memberi penjelasan telus mengenai nilai sebenar tawaran kepada penduduk.

“Orang kata kami dapat RM3.8 juta, RM2.25 juta, tapi mana hitam putih? Saya sendiri tidak pernah menerima angka itu. Rumah saya dua tingkat, hampir 400 kaki persegi tapi dalam dokumen rasmi pampasan yang dinyatakan hanyalah sekitar RM448 satu kaki persegi.

“Sedangkan ada pihak menyebut sehingga RM850 kaki persegi. Mana keadilan ini?” soalnya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus yang mendakwa pampasan yang diberikan pihak pemaju adalah sangat munasabah dan tinggi malah ada yang mencecah sehingga RM3.8 juta bagi satu unit rumah teres.

Namun kata Zainab, hakikatnya tanah Kampung Sungai Baru mempunyai nilai tinggi kerana kedudukannya bersebelahan pusat bandar.

“Harga tanah di kawasan sekitar KLCC boleh mencecah RM2,500 satu kaki persegi. Tapi untuk kampung kami, mereka letakkan jauh lebih rendah. Ini sangat tidak masuk akal, langsung tidak ada keadilan,” ujarnya.

Antara 15 baki kediaman yang telah dirobohkan oleh pihak berwajib ketika di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2025.

Zainab berkata isu pampasan ini tidak pernah mendapat persetujuan penuh daripada penduduk.

“Bukan semua setuju, tapi rumah flat lapan blok pun sudah dirobohkan. Sekarang mereka kata mahu ganti dengan unit flat baru. Apa jaminannya? Mana perjanjian yang jelas?,” soalnya lagi.

Beliau turut menyuarakan kekecewaan kerana kampung warisan yang diwarisi sejak turun-temurun sedang dikorbankan demi pembangunan.

“Saya tidak mahu berpindah ke Putrajaya atau tempat lain. Kampung saya di sini. Tanah tumpah darah saya di sini, tali pusat saya ditanam di sini. Kubur nenek moyang kami ada di sini. Apa perlunya kami dipaksa berpindah?” tegasnya. -MalaysiaGazette

Projek Kampung Sg Baru tak wajar diputar belit, pampasan cecah RM3.8 juta – Sanita

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. saya terpanggil untuk memberi pendapat dan saya brrharap masyarakat berfikiran terbuka utk samaada menerima atau sebaliknya. Alangkah sedihnya rasa mengikuti perkembangan kg Sg Baru ini sempena bulan Kemerdekaan yg baharu kita sambut.
    kalau orang dahulu memperjuangkan kemerdekaan tetapi org sekarang memperjuangkan pengusiran. Apalah salahnya di berikan hak mereka dan berunding elok elok mencari solusi yang menguntungkan kedua dua pihak. Cuma perlu mendengar lebih daripada bercakap dan bertolak ansur dgn hikmah. ini adalah sejarah yg buruk berlaku kepada orang Melayu di dalam urusan Tanah Melayu. Saya ingin bertanya di mana Pemimpin Melayu ketika Rakyat Melayu di halau dari Tanah Rizab Melayu. Perkara ini tak sepatutnya berlaku di dalam Negara kita pada Zaman moden ini. Kejadian ini bukti bahawa perjuangangan orang Melayu belum berakhir. orang Melayu perlu bersatu dan senentiasa ingat dan sedar mengenai hak2 orang Melayu yg kian terhakis dan tersungkur….. Dimana Kepimpinan Tertinggi Melayu? ketika rakyat di usir? Bagaimana pula jika mereka nanti juga di usir? Adakah mereka akan mengadu pada rakyat Melayu.

Comments are closed.