Shamsher Singh Thind dan isteri Simarjeet Kaur Dhillon ketika menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas di Alor Setar, Kedah hari ini.

ALOR SETAR – Kaum bukan Melayu sepatutnya bersama-sama dengan parti politik yang mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan orang Melayu.

Peguam yang juga bekas ahli DAP, Dr. Shamsher Singh Thind berkata, dalam situasi hari ini, Pas yang merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) merupakan parti yang mempunyai sokongan terbesar dalam kalangan orang Melayu.

Menurutnya, keputusan untuk bersama-sama dengan parti yang mempunyai sokongan terbesar orang Melayu itu bagi mengelak perpecahan lebih besar, selain memastikan negara dapat ditadbir dengan lebih berkesan.

Jelasnya, kaum bukan Melayu juga perlu sedar mana-mana parti politik yang mentadbir negara ini perlu memberi keutamaan kepada kaum Melayu dan umat Islam selaku masyarakat majoriti di negara ini.

Apatah lagi, tambah beliau, kaum bukan Melayu sendiri sudah melihat bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan DAP khususnya gagal mengotakan janji terhadap kaum Cina meskipun ketika parti itu sudah menjadi kerajaan.

Beliau mengambil contoh berkenaan kegagalan PH dan DAP dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) seperti dijanjikan kepada pengundi Cina.

“Begitu juga dalam isu pelajar cemerlang kaum Cina yang gagal melanjutkan pengajian ke universiti awam yang mana isu ini lebih banyak diperjuangkan oleh pemimpin MCA.

“Jadi ini menunjukkan meskipun pemimpin PH dan DAP sebelum ini kononnya boleh ke depan dalam isu-isu melibatkan bukan Melayu, tetapi apabila berada di dalam kerajaan, mereka gagal melakukannya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-66 di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Shamsher dan isterinya, Simarjeet Kaur Dhillon dijemput menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas itu sebagai tetamu.

Menurut Shamsher, pendekatan kaum bukan Melayu bersama-sama dengan parti yang mendapat sokongan majoriti Melayu itu adalah sama seperti yang berlaku pada era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Ketika itu, ujarnya, pentadbiran dan kemajuan negara berlangsung dengan sangat baik selain tidak ada isu-isu pergeseran antara kaum serius yang tercetus seperti yang wujud ketika ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, kaum bukan Melayu sepatutnya lebih terbuka dalam menerima dan memberi peluang kepada Pas dan PN untuk mentadbir negara.

“Jika selepas ini kita lihat Pas dan PN juga gagal termasuk mengabaikan suara-suara bukan Melayu, maka kita mempunyai pilihan untuk menolak parti-parti ini pada pillihan raya umum seterusnya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast