Gambar hiasan

ISU matrikulasi sekali lagi mengangkat perdebatan tentang sistem pendidikan negara. Segelintir pihak menyatakansistem matrikulasi telah memberi peluang besar kepada pelajar luar bandar dan berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam. Ya, memang benar ada yang mendapat manfaat.

Namun, persoalan penting yang wajar ditanyakan, adakah sistem pendidikan kita benar-benar adil dan inklusif, atau sekadar memberi laluan kecil yang tidak pernah menyelesaikan jurang ketidaksamaan yang besar?

Matrikulasi dan naratif perkauman

Setiap kali isu matrikulasi dibahaskan, ia sering terseret ke dalam naratif perkauman. Segelintir pihak melihatnya sebagai isu kouta kaum, meritokrasi, atau persaingan antara etnik. Padahal, persoalan yang jauh lebih penting ialah sejauh mana sistem ini benar-benar membantu anak-anak muda yang terpinggir.

Hakikatnya, sistem pendidikan Malaysia tidak pernah bermula dari titik yang sama. Ambil contoh di Sabah dan Sarawak. Ramai pelajar luar bandar berdepan cabaran asas sejak sekolah menengah lagi, sekolah yang serba kekurangan, kekurangan guru berkualiti, akses internet yang lemah, malah ada yang terpaksa berjalan berjam-jam ke sekolah.

Dalam keadaan seperti ini, sejauh mana sistem matrikulasi mampu menutup jurang yang sudah wujud sejak awal? Apakah adil untuk hanya menilai mereka di pintu masuk universiti, sedangkan titik mula mereka jauh tertinggal?

Naratif perkauman akhirnya menutup ruang untuk membincangkan isu sebenar, iaitu soal ketidakadilan sosial. Pendidikan tidak sepatutnya dilihat sebagai perbalahan siapa dapat lebih atau kurang berdasarkan kaum, tetapi bagaimana seluruh rakyat tidak kira bangsa, agama, atau kemampuan ekonomi boleh mendapatkan peluang yang setara.

Adil dan inklusifkah sistem pendidikan kita jika masih berbayar?

Kita sering mendengar universiti dan kerajaan menyebut bahawa sistem kita inklusif. Tetapi mari kita jujur, selagi yuran pengajian kekal sebagai halangan, sistem pendidikan tidak akan pernah benar-benar adil dan inklusif.

Bayangkan dua situasi mudah. Seorang anak dari keluarga kaya boleh membayar yuran universiti tanpa masalah, hidup di kampus dengan selesa, malah mungkin ke luar negara untuk menyambung pelajaran.

Seorang lagi anak dari keluarga miskin pula bukan sahaja perlu berhempas pulas untuk masuk universiti, malah terpaksa memikirkan tentang hutang PTPTN sebaik sahaja tamat belajar.

Pada akhirnya, yang kaya semakin mudah mendapatkan pendidikan, sementara yang miskin mendapat pendidikan dengan syarat menanggung beban hutang bertahun-tahun.

Bagaimana sistem ini boleh dipanggil inklusif? Jika pendidikan masih diukur dengan kemampuan membayar, maka jelas ia belum adil. Pendidikan sepatutnya menjadi alat untuk membebaskan anak muda daripada lingkaran kemiskinan, bukan menambah beban baru selepas mereka bergraduasi.

Masalah struktur lebih besar

Isu pendidikan Malaysia tidak boleh dilihat hanya dari sudut laluan masuk ke universiti. Masalah sebenar ialah struktur pendidikan itu sendiri, jurang bandar-luar bandar, jurang kaya-miskin, jurang kaum A-kaum B, dan yang paling ketara beban kos pengajian di universiti awam.

Selagi universiti kekal berbayar, selagi itu pendidikan akan lebih mudah diakses oleh golongan kaya berbanding golongan miskin. Sistem kita akhirnya hanya mengekalkan ketidaksamaan sosial yang sedia ada.

Isu ini masih berlegar di tahap retorik biasa, matrikulasi inklusif, akses lebih luas, peluang sedia ada sudah cukup baik. Soalan besar yang gagal disentuh ialah bagaimana untuk membina sistem pendidikan yang benar-benar bebas daripada diskriminasi, dan terbuka untuk semua.

Universiti tidak boleh hanya menjadi alat pembentukan naratif kepada dasar kerajaan. Sebagai ruang ilmu, ia perlu berani mengangkat isu-isu yang tidak popular tetapi penting, seperti idea besar pendidikan percuma, agar pendidikan menjadi sesuatu yang benar-benar inklusif dan mampu mengeluarkan masyarakat daripada putaran ganas kemiskinan.

Pendidikan percuma

Ada yang beranggapan pendidikan percuma di universiti hanyalah idealisme anak muda, tidak realistik dalam keadaan ekonomi negara. Namun, pengalaman negara lain menunjukkan sebaliknya.

Jerman misalnya, telah melaksanakan pendidikan percuma di universiti awam sejak 2014. Chile pula, selepas desakan besar-besaran gerakan mahasiswa pada tahun 2011, akhirnya memperkenalkan pendidikan tinggi percuma secara berperingkat bermula 2016. Argentina, Cuba, Finland, dan Norway juga menawarkan pendidikan universiti percuma kepada rakyat mereka.

Negara-negara ini sedar bahawa pelaburan terbesar bukan pada projek mega atau pembinaan lebuh raya, tetapi pada modal insan yang berpendidikan dan bebas daripada beban hutang..

Jika negara lain mampu, mengapa Malaysia tidak? Kita bukanlah negara termiskin di dunia. Malaysia sering berbangga dengan status negara berpendapatan pertengahan tinggi, malah sering mengisytiharkan projek ratusan bilion ringgit. Tetapi apabila ditanya soal pendidikan percuma, jawapan yang diberi ialah “tidak mampu”. Sebenarnya, ia bukan soal mampu atau tidak, tetapi soal mahu atau tidak.

Kalau kita melihat dalam konteks Malaysia, Sarawak merupakan satu-satunya wilayah yang sedang menuju kearah idea besar pendidikan percuma, ini bermakna pendidikan percuma bukanlah sesuatu yang mustahil untuk negara kita.

Universiti untuk siapa?

Persoalan ini wajar kita tanya bersama, universiti di Malaysia sedang berkhidmat untuk siapa? Untuk kerajaan semasa? Untuk menjaga status quo? Atau untuk benar-benar membela suara rakyat, terutama anak muda miskin, luar bandar, dan kelompok marjinal yang terpinggir?

Selagi universiti dan pembuat dasar lebih selesa berbicara tentang angka kemasukan tanpa menyentuh beban hutang, selagi itu pendidikan akan kekal sebagai hak istimewa bagi yang mampu, bukan hak asasi untuk semua.

Keadilan pendidikan tidak boleh lagi ditunda. Anak muda Malaysia berhak mendapatkan pendidikan percuma dan berkualiti. Itu sahaja jalan sebenar untuk membina sistem pendidikan yang adil, inklusif, dan benar-benar membebaskan rakyat daripada ketidaksamaan sosial.

Hamdin Nordin
Jurucakap Federasi Pemuda Kebangsaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Pendidikan Universiti percuma ok jaa dengan syarat cukai dinaikkan lagi semaksimum mungkin utk menampung kos pengajian universiti. Negara2 yg disebutkan tadi cukai kepada rakyat amat tinggi…jadi boleh disalurkan kpd pendidikan IPT percuma

Comments are closed.