Tangkap layar video tular dirakamkan pengguna jalan raya mengenai kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di sini semalam sekali lagi membuktikan kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan masalah banjir yang sudah bertahun-tahun menghantui rakyat. (GAMBAR FAIL)

MELAKA – Insiden banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di sini semalam sekali lagi membuktikan kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan masalah banjir yang sudah bertahun-tahun menghantui rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, masalah banjir berulang kali dibangkitkan namun sehingga kini ia masih gagal ditangani dengan tuntas.

“Walaupun pelbagai projek pembangunan diumumkan, termasuk menaik taraf Jejantas Tun Teja bernilai RM8 juta, rakyat tetap berdepan dengan kesan banjir kilat setiap kali hujan lebat melanda.

“Keutamaan seharusnya diberikan kepada penyelesaian masalah banjir yang melibatkan kesejahteraan dan keselamatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mohd Aleef Yusof

Menurutnya, langkah yang perlu diambil termasuk naik taraf sistem perparitan, pengurusan sungai, penyelenggaraan longkang dan pam air serta perancangan bandar yang lebih tersusun.

“Rakyat tidak minta projek mewah, rakyat tidak minta mercu tanda semata-mata sebaliknya apa diperlukan ialah penyelesaian segera dan berkesan terhadap isu banjir.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri berhenti bermain dengan projek pembaziran dan mula mendengar denyut nadi rakyat,” tegasnya.

Namun malangnya, Dr Aleef berkata, suara rakyat seolah-olah tidak pernah sampai ke telinga pemimpin negeri.

“Jangan terus menipu diri sendiri dengan kononnya membawa pembangunan jika pembangunan itu tidak memberi manfaat besar kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast