BATU PAHAT – Seorang wanita maut selepas motosikalnya berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 10, Jalan Kluang-Ayer Hitam di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 8.10 pagi ketika sebuah kereta dari arah pusat bandar ini sedang bergerak lurus menghala ke arah Parit Raja.
“Pelanggaran berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan membuat pusingan U hingga masuk laluan kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kereta itu tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal yang ditunggang wanita berusia 59 tahun.
Akibatnya, penunggang motosikal parah di kepala dan organ dalaman sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara, pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk bedah siasat.
Shahrulanuar Mushaddat berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu dan membahayakan.- MalaysiaGazette















